Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Umar al Khattab menemui Baginda untuk bertanya hal yang menyebabkan hatinya dan para sahabat yang lain tidak tenang. Antara perkara besar yang mereka tidak gembira adalah perjanjian ini menyebabkan mereka yang sudah dalam ihram tidak boleh masuk ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan perlu kembali ke Madinah. Manakala Baginda yang sentiasa berada dilandasan kebenaran kini tunduk dengan desakan kebatilan oleh Quraisy. Ianya seolah-oleh telah merendahkan Islam dalam menghadapi golongan kafir Quraisy. Akal mereka tidak dapat menerima tindakan dan persetujuan Baginda. Lalu Umar al Khattab bertemu Baginda.
Berkata Umar al Khattab, “wahai Rasulullah s.a.w, tidakkah kita ini diatas kebenaran dan mereka di atas kebatilan".
Lalu dijawab oleh Baginda, "bahkan".
Berkata Umar al Khattab lagi, "tidakkah para syuhada kita di dalam syurga dan yang mati dikalangan mereka di dalam neraka?"
Dijawab Baginda, "bahkan".
Kemudian Umar al Khattab meneruskan, "kalaulah demikian mengapa kita membenarkan kerendahan kepada agama kita dan hendak pulang pula. Kenapa Allah menghukum di antara kita dan mereka sebegini rupa?"
Baginda kemudian menjelaskan, "wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, utusan Allah, mustahil aku menderhakaiNya, Dialah Pembantuku, Dia tidak akan membiarkanku dan mengabaikan aku sama sekali".
Umar yang masih tidak berpuas hati terus bertanya, "tidakkah tuan hamba menceritakan kepada kita semua bahawa kita akan menziarahi Baitullah al-Haram dan bertawaf di sekelilingnnya?"
Pertanyaan Umar dijawab Bagainda, "bahkan! Apakah aku katakan pada tahun ini?
Jawab Umar: "Tidak".
Kemudian berkata Baginda, “tetapi kamu akan menziarahinya dan bertawaf di sekelilingnya".
Umar al Khattab kemudiannya beredar dengan hati yang masih tidak tenang lalu beliau bertemu dengan Abu Bakar. Beliau mengutarakan soalan yang sama kepada Abu Bakar.
Abu Bakar menenangkan Umar al Khattab dengan berkata, "Umar! Kamu mestilah berpegang dengannya hingga ke akhir hayatmu, demi Allah sesungguhnya Baginda adalah Rasulullah s.a.w. yang berada di atas kebenaran.”
Tidak lama seleps itu Allah menerunkan wahyunya dalam al Quran dari surah Fath ayat 1,
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. (Fath 48:1)
Apabila ayat ini diturunkan maka Baginda menyampaikan ayat ini kepada Umar al Khattab. Lalu beliau bertanya, "wahai Rasulullah s.a.w. apakah ianya kemenangan?"
Berkata Baginda, "Ya".
Mendengar jawapan ini jiwa Umar al Khattab menjadi tenang. Malah beliau merasa menyesal dan berdukacita di atas sikapnya terhadap Baginda. Bagi menebus kembali kesilapannya maka beliau telah mengatakan untuk berazam melakukan kerja-kerja amal, terus bersedekah, berpuasa, sembahyang serta memerdekakan hamba-hamba sahaya bagi menggantikan tindakan pada hari tersebut. Ini dilakukan kerana beliau takut di atas keceluparan kata-katanya itu. Beliau berharap semuga semuanya itu hanyalah untuk kebaikan semata-mata.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir