Peristiwa Sedih Maa’ Al Raji’ (samb)
Zaid Bin Dasinah telah dibeli oleh Safwan Bin Umayyah dengan nilai 50 ekor unta. Tujuan Safwan Bin Umayyah membeli Zaid Bin Dasinah adalah untuk membunuhnya kerana dendam kepada Zaid Bin Dasinah yang telah membunuh ayahnya Umayyah Bin Khalaf di medan perang. Ibnu Ishak meriwayatkan bagaimana Zaid Bin Dasinah dibunuh.
Safwan Bin Umayyah telah menyuruh hamba miliknya iaitu Nisthas dan beberapa orang membawa Zaid Bin Dasinah ke Tana’im iaitu luar dari Tanah Haram. Ada sama ketika itu adalah Abu Sufyan yang bertanya soalan kepada Zaid Bin Dasinah, “wahai Zaid apakah kamu mahu sekiranya yang menggantikan tempat kamu sekarang adalah Muhammad dan kamu kami lepaskan untuk bersama keluargamu?”
Jawab Zaid, “Demi Allah, aku tidak akan berasa senang jika bersama keluargaku sedangkan Muhammad terkena duri di tempatnya sekarang sewaktu aku dibunuh.”
Berkata Abu Sufyan, “aku tidak pernah melihat seorang manusia mencintai manusia lain seperti sahabat-sahabat Muhammad mencintai Muhammad.”
Kemudian Nisthas membunuh Zaid Bin Dasinah dengan menikam dengan lembing ke dadanya. Syahid Zaid Bin Dasinah ditangan musuh Islam dengan kembali kepada Allah tetap kukuh aqidahnya dan cintanya kepada Rasulullah s.a.w. Masya Allah hebat sungguh imannya.
Manakala kedudukan Khubaib Bin Adi pula menurut Ibnu Ishaq, “lalu Khubaib dibeli oleh Hujair bin Abi Ihab at-Tamimi, sekutu Bani Naufal dan diberikan kepada Uqbah bin Harits. Dan Abu Ihab at-Tamimi adalah saudara seibu al-Harits bin Amir, ayah Uqbah.
Sebelum ini Khubaib Bin Adi telah dikurung oleh keluarga Harits sehingga sampai masa mereka membawanya keluara dari Tanah Haram ke Tanaim untuk dibunuh dengan cara disalib. Sebelum dibunuh Khubaib Bin Adi telah meminta untuk solat 2 rakaat. Permintaannya ditunaikan oleh mereka. Setelah beliau memberi salam maka berkatalah beliau dengan memandang kepada mereka yang mahu membunuhnya.
“Demi Allah, kalau tidak kamu menyangka yang aku ini takut mati, nescaya aku akan memanjangkan solatku”. Kemudian beliau berdoa, “Ya Allah ya Tuhanku! Musnahkanlah mereka semua, bunuhlah mereka sehabis-habisnya dan jangan tinggal seorang pun dari mereka".
Kemudian mereka pun terus mensalib dan dihujani dengan anak-anak panah serta ditikam untuk membunuhnya. Burung-burung pemangsa yang berterbangan diangkasa tidak turun untuk merobek jasad Khubaib Bin Adi. Semuanya terbang meninggalkan jasad Khubaib Bin Adi di palang kayu. Sungguh benar jasad para syuhada dipelihara oleh Allah.
Rasulullah s.a.w yang berada di Madinah mendapat khabar dari Jibril tentang para sahabatnya yang telah disiksa dan dibunuh. Baginda memerintahkan Miqdad bin Amar dan Zubair bin Awwam memacu kuda untuk mencari mereka. Miqdad dan Zubair menemukan jasad Khubaib yang disalib dan seterusnya menguburkan jenazahnya.
Para syuhada ini menemui Allah dalam redhanya demi perjuangan bersama Baginda. Tiada sedikit pun ketakutan dengan musuh. Kematian mereka juga tidak memenangkan musuh bahkan musuh merasa hairan bagaimana mereka sanggup mati demi Islam dan Rasul.
Bersambung esok, Insya Allah.
Ust. Sabir