Rasulullah s.a.w menyusun pasukan tentera muslimin yang akan mula menghadapi musuh pada keesokkannya. Kedudukan tentera muslimin adalah berada di kawasan yang tinggi jadi mereka terpaksa menuruni bukit untuk menuju ke wadi Hunain. Keadaan yang cerun ini menyukarkan kuda untuk turun dan begitu juga dengan tentera muslimin.
Pada awal paginya Khalid bin al-Walid bersama tentera berkuda mulai menuruni bukit hendak menuju ke wadi Hunain. Kemudian pasukan yang lain ikut sama turun selepas pasukan berkuda Khalid bin al-Walid. Pasukan musuh yang dipimpin oleh Malik bin Auf telah menyusun tenteranya di kiri dan kanan lembah tersebut berlindung di sebalik bukit tanpa disedari oleh tentera muslimin.
Apabila tentera muslimin sudah bergerak menuruni bukit tiba-tiba serangan dilancarkan oleh musuh dengan lontaran lembing dan anak-anak panah yang menghujani mereka. Keadaan tentera muslimin menjadi kucar kacir termasuk tentera berkuda yang tidak dapat mengawal kuda kerana kedudukan yang curam serta tentera muslimin yang tidak dapat mengenalpasti dari mana serangan berlaku. Tentera muslimin tidak menjangkakan ada serangan sebelum sampai ke lembah wadi Hunain.
Khalid bin al-Walid terjatuh dari kudanya dan tercedera manakala tentera yang baru masuk Islam pula ketakutan dan berundur kebelakang mencari tempat yang selamat. Musuh mula menyerang bertubi-tubi menyebabkan jumlah yang tercedera di kalangan tentera muslimin meningkat. Tentera muslimin yang berada di sebalik cerun tidak menyedari apa yang berlaku di bawah bukit. Apabila mereka melihat tentera muslimin berundur dan mula naik kembali ada di antara mereka pula yang telah melarikan diri.
Malik bin Auf mengambil kesempatan mengarahkan tenteranya yang berjumlah 20,000 orang untuk melakukan serangan secara serentak. Beliau mahu peperangan itu hanya berlaku sehari sahaja dan kemenangan berpihak kepada pasukannya. Pada serangan awal ini Malik bin Auf yakin kemenangan sudah berada di pihaknya.
Rasulullah s.a.w melihat keadaan yang kelam kabut serta hilang punca di kalangan tentera muslimin. Baginda segera bertindak dengan melaungkan suara dengan lantang,
"Wahai kamu semua! Segera ke sini, aku adalah Rasulullah, aku Muhammad Ibni Abdullah".
Apabila mendengar suara Baginda maka segeralah berlari para Sahabat menghampiri Baginda. Antara mereka adalah Abu Bakar, Umar bin al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Rabiāah bin Harith, Abbas bin Abdul Mutalib, Fadl bin Abbas, Qasam bin Abbas, Usamah bin Zaid dan Aiman bin Ummu Aiman dan yang lain. Jumlah mereka yang bersama Baginda ketika itu hanyalah 80 orang untuk menghadapi tentera musuh yang berjumlah 20,000 orang.
Kini musuh sudah menguasai medan perang. Baginda dan para Sahabatnya berada di hadapan musuh yang sangat ramai jumlahnya. Rasulullah s.a.w melihat Abbas bin Abdul Mutalib dan mengarahkannya untuk melaungkan suara yang kuat memanggil para tentera muslimin bersama Baginda kerana beliau mempunyai suara yang lantang dan kuat.
Manakala di pihak musuh, Malik bin Auf merasa gembira kerana beliau yakin kemenangan sudah hampir menyebelahinya. Beliau melihat tentera muslimin yang sudah melarikan diri dan dalam keadaan yang kelam kabut. Apakah yang terjadi seterusnya?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir