Rasulullah Berhijrah Ke Madinah (samb)
Perjalanan ke Madinah diteruskan oleh Baginda sehinggalah mereka tiba di satu tempat dikenali Ummu Ma’bad al Khuza’iyah. Kawasan ini merupakan tempat kaum badwi yang6 sentiasa berpindah randah. Abu Bakar telah menyapa seorang wanita yang duduk di khemahnya yang menjadi kebiasaan bagi wanita ini memberi minum kepada sesiapa yang melewati khemah mereka. Bertanyalah Abu Bakar,
“Apakah kamu ada minuman susu untuk kami?”
Jawab Ummu Ma’bad, “jika ada nescaya akan ku berikan kepada kamu tanpa perlu kamu memintanya kerana kamu adalah tetamu yang selayaknya dilayan sebagai tetamu.”
Bersama Ummu Ma’bad terdapat kambing yang sudah tua dan tidak mampu untuk mengeluarkan susu lagi. Kambing ini juga tidak mampu lagi untuk berjalan dalam kumpulan kambing yang dibawa oleh suaminya untuk meragut rumput.
Melihatkan kambing itu maka Rasulullah s.a.w meminta izin Ummu Ma’bad untuk memerah susunya. Lalu berkata Ummu Ma’bad kalau Baginda mahu memerahnya silakan. Maka Baginda mendekati kembing yang tua itu lalu dipegang kantung susunya dengan membaca Bismillah kemudian tiba-tiba kantung susu kambing tersebut mengembang dan diperah susunya oleh Baginda. Hasilnya semua bekas Ummu Ma’bad yang tadinya kosong telah diisi dengan susu yang banyak. Susu ini diminum pula oleh Baginda dan rombongan hijrahnya serta Ummu Ma’bad.
Setelah menghilangkan haus dan kekenyangan dengan susu kambing yang diminum, Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah. Tidak lama selepas itu pulanglah suami6 Ummu Ma’bad dengan membawa gembalaan kambingnya yang kurus. Beliau terkejut melihat bekas-bekas yang penuh diisi susu sedangkan yang tinggal bersama Ummu Ma’bad hanyalah kambing yang tua dan mustahil mampu menghasilkan susu. Maka diceritakan oleh Ummu Ma’bad tentang seorang lelaki dengan perwatakan mulia, bahasa yang sopan serta seolah-oalah membawa berkat kepada mereka. Suami Ummu Ma’bad berkata pastilah inilah orang yang dicari oleh Quraisy. Aku sangat berharap akan dapat bersahabat dengannya sekiranya aku mempunyai peluang.
Dalam meneruskan perjalanan ini Baginda telah bertemu beberapa orang lagi antaranya seorang pekerja yang mengembala kambing yang bernama Mas’ud. Baginda telah mendoakannya dengan kebahagiaan. Kemudian Baginda juga bertemu dengan pedagang yang pulang dari Syam iaitu Zubair al Awwam dan Talhah. Mereka dengan senang hatinya telah memberikan hadiah pakaian kepada Baginda.
Seterusnya Baginda telah bertemu dengan Abu Buraidah, yang merupakan ketua kabilah kaumnya. Beliau tertarik dengan tawaran Quraisy untuk menangkap Baginda namun apa yang belaku setelah bertemu Baginda telah mengubah pendiriannya. Kepetahan dan keluhuran peribadi Baginda telah menambat hatinya sehingga akhirnya beliau memeluk Islam bersama-sama kabilahnya seramai 70 orang.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir