Tentera Rom mulai gentar apabila mendengar tentera kaum muslimin akan bergerak menuju Tabuk untuk berhadapan dengan mereka dengan jumlah tentera yang sangat ramai. Asalnya mereka yang hendak menyerang Madinah tetapi kini pasukan tentera muslimin menyahut cabaran musuh. Bahkan sanggup bermusafir dalam jarak yang jauh untuk berhadapan dengan mereka.
Pada masa yang sama di Madinah tentera muslimin sudah siap untuk bergerak. Telah datang bertemu Baginda beberapa orang muslim yang miskin mahu turut serta dalam expedisi ini namun mereka tidak mampu menyediakan unta sebagai kenderaan. Baginda berkata mereka tidak dapat turut serta kerana tiada kenderaan yang mampu membawa mereka. Akhirnya mereka menangis kerana tidak dapat turut serta.
Manakala ada beberapa Sahabat yang masih belum lengkap persediaannya untuk turut serta kerana perancangan persiapan yang lambat. Namun mereka yakin dapat mengejar pasukan ini walaupun mereka lewat berangkat. Antara yang menyusul lewat dan sempat sampai adalah Abu Khusaimah. Beliau pada awalnya terlalu yakin sempat untuk menyusul Baginda tetapi tidak terjadi seperti andaiannya.
Setelah itu beliau kembali ke Madinah dan disambut pula oleh isteri-isterinya dengan khemah yang sudah tersedia dan nyaman disejukkan dengan siraman air dalam cuaca panas. Melihat keadaan ini Abu Khusaimah merasa sangat bersalah kerana mengenangkan Baginda melalui cuaca panas sedangkan beliau akan berehat dalam keadaan nyaman. Akhirnya beliau terus mengejar tentera muslimin hingga tidak berhenti berehat serta sampai ke khemah mereka. Rasulullah s.a.w melihat Abu Khusaimah dan berkata kepadanya beliau mendapat kebaikan dan setelah mendengar ceritanya kenapa beliau nekad untuk terus mengejar tentera muslimin lalu Baginda mendokannya.
Ada beberapa Sahabat yang gagal untuk menyusul kerana membuat persediaan lewat dan tidak menyusun rancangan dengan betul. Mereka adalah Kaab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin ar-Rab. Namun Sahabat ini bukanlah sama seperti golongan munafik yang sememangnya beralasan untuk tidak turut serta berperang. Kesilapan mereka yang tidak bersungguh-sungguh mengambil perhatian perintah membuat persiapan terutamanya kenderaan untuk ke Tabuk telah menyebabkan mereka tertinggal dan tidak dapat menyusul. Al-Quran merakamkan kisah ini bagaimana mereka dihukum di dunia lagi atas kesalahan mereka,
وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّىٰ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya : Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. (Surah Taubah 9:118-119)
Kisah lanjut tentang ke tiga-tiga Sahabat yang tidak menyertai perang dan menerima hukuman di dunia tidak akan dicoretkan dalam penulisan ini. Harap pembaca boleh mencarinya sendiri dengan merujuk kepada tafsir al-Quran.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir