Sebelum Baginda menguasai Mekah terdapat senarai sepuluh orang yang dihalalkan darahnya oleh Baginda. Namun apabila Baginda telah berjaya menawan kota Mekah ada diantara mereka yang dimaafkan dan ada pula yang dibunuh. Mereka adalah seperti berikut:
Ikrimah bin Abu Jahal, beliau adalah anak kepada Abu Jahal yang sangat membenci dan memusuhi Islam. Ketika pasukannya tewas semasa menghalang Khalid bin al-Walid masuk ke Mekah beliau telah melarikan diri ke Yaman. Isterinya Ummu Hakim binti Haris tidak mengikutinya ke Yaman lalu beliau telah menghadap Baginda dan memohon kemaafan bagi pihak suaminya. Baginda dengan sifat kemuliaannya memaafkan Ikrimah bin Abu Jahal. Ummu Hakim binti Haris segera menuju ke Yaman memaklumkan pengampunan Baginda kepada suaminya. Lalu mereka berdua kembali ke Mekah dan mengistiharkan syahadah di hadapan Baginda.
Abdullah bin Saad, beliau merupakan anak saudara kepada Uthman bin Affan. Beliau pernah turut serta berhijrah ke Madinah. Pernah menjadi seorang penulis wahyu semasa Islam namun beliau telah murtad dan menyebarkan cerita bahawa beliau telah menokok tambah ayat al-Quran. Pada satu hari beliau telah bertemu Uthman bin Affan dan meminta pertolongannya. Uthman bin Affan berkata namanya termasuk senarai mereka yang halal darahnya iaitu boleh dibunuh atas arahan Baginda. Namun beliau bersungguh-sungguh minta bantuan Uthman bin Affan untuk menyelamatkan dirinya.
Uthman bin Affan membawanya dengan muka yang ditutup untuk bertemu Baginda untuk kembali mengucap syahadah. Ketika tiba di hadapan Baginda pada waktu itu ada beberapa orang para sahabat dan seorang sahabat Ansar yang telah bernazar untuk membunuh sepuluh orang yang halal darahnya sebagaimana disebut Baginda. Kemudian Uthman bin Affan berkata kepada Baginda,
“Wahai Rasulullah bersama aku adalah Abdullah bin Saad. Beliau datang untuk masuk Islam kembali dan berjanji setia dengan pesuruh Allah.”
Abdullah bin Saad menghulurkan tangannya untuk bersalam dan berbaiah dengan Baginda namun Baginda tidak menyambut tangannya. Beberapa kali Abdullah bin Saad merayu namun Baginda hanya mendiamkan dirinya. Seterusnya Uthman bin Affan merayu kepada Baginda agar memaafkan Abdullah bin Saad. Akhirnya atas rayuan Uthman bin Affan Baginda memaafkan Abdullah bin Saad. Setelah berbaiah dengan Baginda mereka berdua meninggalkan khemah Baginda.
Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat Ansar, kenapa ketika Baginda tidak menyambut tangan yang dihulurkan oleh Abdullah bin Saad tadi tiada siapa yang bertindak membunuh Abdullah bin Saad? Lalu berkata sahabat Ansar dia tidak mengetahui isyarat Baginda. Sekiranya Baginda memberi isyarat dengan mata pastilah beliau telah memenggal leher Abdullah bin Saad. Namun Baginda berkata bukanlah sifat seorang Nabi memberi isyarat dengan matanya.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir