Perang Badar (samb)
Ketika peperangan hampir sudah tidak dapat dihalangi lagi, tiba-tiba berlaku perpecahan dan percanggahan pandangan di kalangan kafir Quraisy. Ada diantara mereka yang mencadangkan agar mereka kembali ke Mekah dan biarkan tentera Rasulullah s.a.w. Antara yang mencadangkan adalah Hakim Bin Hizam dan Utbah Bin Rabiah. Hakim Bin Hizam telah mencadangkan kepada Utbah Bin Rabiah dan beliau pun bersetuju dengan cadangan Hakim Bin Hizam namun masalah besarnya adalah Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin. Apabila Hakim Bin Hizam bertemu Abu Jahal dan memberi cadangan dan pandangan dari Utbah Bin Rabiah, maka Abu Jahal dengan bongkaknya menolak cadangan tersebut bahkan memperkecilkan cadangan Utbah Bin Rabiah. Abu Jahal tetap dengan keputusannya dan bersiap memakai baju besi untuk berhadapan dengan tentera muslimin.
Di pihak tentera Islam, Baginda Rasulullah s.a.w tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar diberi bantuan dan kemenangan. Sejak malam hari ketika para tentera muslimin tidur Baginda tetap solat dan bermunajat kepada Allah. Antara doa Baginda,
Ya Allah! Jika (kalah dan) musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya. Ya Allah! Berikanlah kemenangan (pada hari ini) yang telah Engkau janjikan kepada aku.”
Doa Baginda didengar oleh Abu Bakar yang menemani Baginda di khemahnya. Beliau merasa sayu mendengar munajat Baginda yang bersungguh-sungguh yang sangat mengharapkan pertolongan dari Allah.
Kini waktu yang dinanti-nantikan telah tiba, pasukan tentera musyrikin telah bertentang mata dengan tentera muslimin. Masing-masing dapat melihat kekuatan dan jumlah mereka. Yang menguatkan tentera Islam bukanlah senjata tetapi keimanan dan itulah yang membezakan antara mereka dengan tentera kafir Quraisy.
Baginda menyusun pasukannya dengan teratur, hingga tiba pada seorang sahabat yang bernama Suwad Bin Ghaziah yang terkeluar sedikit dari saf. Lalu Baginda telah menolak dengan tongkatnya pada perut beliau dan berkatalah Baginda, “Suwad betulkan saf.”
Suwad telah berkata tolakan oleh tongkat Baginda menyakitinya dan beliau menuntut untuk membalas kembali. Kata-kata Suwad itu telah memeranjatkan para Sahabat yang lain. Namun Baginda tenang dan mengangkat bajunya dan berkata kepada Suwad sila balas kembali. Suwad tanpa berlengah lagi terus mendapatkan Baginda dan mencium tubuh Baginda. Bertanyalah Baginda kenapa beliau berbuat begitu? Suwad berkata, “wahai Rasulullah hari ini adalah hari yang paling cemas. Aku merasakan aku akan syahid pada hari ini tetapi sebelum aku syahid aku ingin mendapat keberkatan dari tubuh mu.”
Mendengar kata-kata Suwad maka Rasulullah s.a.w. pun mendoakan sesuatu kebaikan untuk beliau. Kemudian Baginda memberi arahan kepada pasukan tentera muslimin agar mendengar arahan sebelum melakukan apa-apa serangan. Serangan hanya akan dilakukan apabila musuh yang memulakan pertempuran. Setiap anak-anak panah hendaklah disasarkan dengan tepat dan tidak dibazirkan. Pedang-pedang hanya akan terhunus apabila musuh mula menyerang pasukan tentera muslimin. Kemudian Baginda kembali ke khemahnya menanti tindakan dari pihak musyrikin.
Kaum musyrikin yang menyelewengkan ajaran agama tetap berdoa memohon kemenangan dari Allah. Abu Jahal turut berdoa dengan menyebut nama Allah. Namun doa Abu Jahal dijawab oleh al Quran,
إِنْ تَسْتَفْتِحُوا فَقَدْ جَاءَكُمُ الْفَتْحُ ۖ وَإِنْ تَنْتَهُوا فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَإِنْ تَعُودُوا نَعُدْ وَلَنْ تُغْنِيَ عَنْكُمْ فِئَتُكُمْ شَيْئًا وَلَوْ كَثُرَتْ وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Jika kamu (wahai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu. Dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai, dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman. (Al Anfal 8:19)
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir