Perang Khaibar : Yahudi Merayu Kepada Rasulullah s.a.w
Setelah penempatan Khaibar hendak dikosongkan oleh Baginda tiba-tiba golongan Yahudi yang memiliki ladang tamar yang terpaksa ditinggalkan, datang merayu kepada Rasulullah s.a.w untuk bekerja di ladang tersebut sebagai pekerja. Kata mereka:
"Wahai Muhammad biarlah kami yang mengerjakan ladang-ladang ini, kami mengusahakannya kerana kami lebih mengetahui mengenai ladang ini lebih dari kamu. “
Akhirnya Yahudi tidak ada tempat dan harta lagi mereka terpaksa meminta ehsan Baginda untuk hidup dengan menjadi pekerja di ladang yang merupakan milik mereka dahulu. Bahkan sememangnya merekalah yang mengusahakan ladang ini setiap hari dengan pendapatan yang lumayan.
Walaupun ladang ini telah dirampas dan sudah menjadi milik kaum muslimin namun masalah bagi pemilik ladang iaitu kaum muslimin pula tidak mempunyai tenaga pekerja yang hendak mengusahakannya. Lalu Baginda membuat keputusan memberi kebenaran kepada Yahudi Khaibar untuk mengusahakan ladang ini sebagai pekerja. Tetapi hasil dari ladang ini hendaklah dibahagikan kepada dua serta Baginda berhak menentukan hasil tuaian dari ladang ini. Baginda juga telah melantik Abdullah Bin Rawahah menjadi penyelia kepada ladang tamar ini.
Seterusnya Baginda membuat pembahagian terhadap tanah Khaibar kepada 36 bahagian. Setiap satu bahagian dipecahkan kepada 100 hingga 3600 bahagian. Baginda dan tentera muslimin mendapat separuh dari bahagian ini iaitu 1800 bahagian. Jumlah 1800 yang diperolehi oleh tentera muslimin adalah anugerah Allah terhadap mereka yang menyertai perjanjian Hudaibiyah. Bahagian yang diperolehi oleh Baginda sama seperti yang diperolehi oleh setiap tentera muslimin. Manakala 1800 bahagian lagi menjadi bahagian pengurus yang menguruskan ladang ini serta untuk kepentingan umat Islam.
Jumlah harta yang diperolehi dalam penawanan Khaibar terlalu besar sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadis oleh Bukhari oleh Ibnu Umar:
“Kami tidak pernah kenyang kecuali setelah kami menawan Khaibar.”
Manakala dalam riwayat yang lain pula iaitu Aisyah berkata:
“Selepas pembukaan Khaibar kami semua berkata; "Sekarang ini kita boleh kenyang dengan memakan tamarnya".
Kini sahabat-sahabat Muhajirin sudah pun memiliki harta maka mereka sekembalinya ke kota Madinah mereka memulangkan segala pemberian seperti tanaman yang telah diberikan kepada mereka oleh sahabat Ansar dahulu. Dengan harta yang sudah menjadi milik mereka di Khaibar kini, sudah memadai diusahakan oleh sahabat Muhajirin dan tidak perlu lagi kepada ladang dan tanaman yang diberikan oleh sahabat Ansar lagi.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir