Peristiwa ini merupakan satu peristiwa paling besar dalam sejarah dakwah Rasulullah s.a.w. Pembukaan Kota Mekah bermakna pembebasan Kaabah dari segala amalan jahiliyah, penyembahan terhadap berhala dan mengembalikan kesuciannya sebagaimana yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.
Antara rentetan berlakunya peristiwa ini adalah pelanggaran oleh pihak Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiyah yang telah dipersetujui bersama Baginda pada tahun ke 6 Hijrah. Antara isi kandungan perjanjian Hudaibiyah adalah mana-mana kabilah berhak untuk membuat kerjasama sama ada Quraisy atau bersama Baginda. Maka tidak boleh mana-mana kabilah yang mengadakan kerjasama dengan kedua-dua pihak ini diperangi dan dibunuh.
Sebelum perjanjian Hudaibiyah lagi terdapat dua kabilah yang telah lama bersengketa dan berperang iaitu Bani Bakar dan Bani Khuzaah. Setelah termeterai perjanjian Hudaibiyah Bani Khuzaah telah mengadakan kerjasama dengan Islam manakala Bani Bakar pula mengadakan kerjasama dengan pihak kafir Quraisy. Hasil kerjasama Bani Khuzaah dengan Baginda ramai di antara mereka telah menerima Islam. Manakala dari sudut kehebatan perang pula Bani Khuzaah sentiasa mendahului Bani Bakar dan berjaya mengalahkan Bani Bakar dalam setiap peperangan sebelum ini.
Dendam Bani Bakar terhadap Bani Khuzaah tidak pernah padam walaupun setelah perjanjian Hudaibiyah disepakati. Pada satu hari ketika Bani Khuzaah datang ke Mekah untuk beribadat, mereka telah berkhemah di luar dari tanah haram. Pada waktu malam harinya beberapa orang dari Bani Bakar telah menyerang dan membunuh Bani Khuzaah yang berada di dalam khemah. Manakala sebahagian lagi orang Bani Khuzaah melarikan diri dan masuk ke kawasan Kaabah yang merupakan kawasan larangan perang.
Namun seorang pemimpin Bani Bakar bernama Naufal yang telah dingatkan oleh kaumnya tentang kawasan larangan ini bertindak diluar kawalan dengan mengejar orang-orang Bani Khuzaah yang berlindung di rumah Budail bin Warqa’. Mereka menceroboh dan membunuh orang-orang Bani Khuzaah dengan bantuan orang-orang Quraisy. Tindakan ini terang-terangan melanggari perjanjian Hudaibiyah.
Wakil Bani Khuzaah iaitu Amru bin Salim telah pergi bertemu Baginda dan memaklumkan kepada Baginda dengan syairnya tentang peristiwa serangan ini. Baginda memahami dan memberi jaminan untuk membelanya. Manakala selepas beberapa hari pula datangnya Budail bin Warqa’ memberitahu kepada Baginda peristiwa yang berlaku. Baginda amat marah mendengarnya. Apakah yang berlaku seterusnya? Tunggu sambungannya....
Ust. Sabir