Peristiwa Sedih Berganda Tragedi Bir Ma’unah
Tidak lama hanya beberapa hari berlaku Peristiwa Maa’ Al-Raji’ dengan terbunuhnya sahabat-sahabat yang dikirim oleh Baginda, berlaku pula satu peristiwa yang lebih dahsyat yang sangat menyentuh jiwa Baginda. Peristiwa ini berlaku pada tahun yang sama iaitu tahun ke 4 Hijrah iaitu di Bir Ma’unah.
Wakil dari suku Amir datang menghadap Baginda di Madinah iaitu Abu Bara’ Amir Bin Malik. Baginda mengajak beliau menganut Islam namun beliau masih belum terbuka untuk menerima Islam lagi pada ketika itu. Kemudian beliau telah berkata kepada Baginda,
"Wahai Rasulullah kalaulah tuan hamba dapat mengutus sahabat-sahabat tuan hamba kepada penduduk Najdi untuk mengajak mereka kepada agama tuan hamba ini, aku mengharapkan mereka akan menyahut seruan itu".
Kemudian Baginda berkata, "sebenarnya aku curiga dengan penduduk Najdi itu.”
Berkata Abu Bara', "aku memberi jaminan akan melindungi mereka".
Berkata Abu Bara’ lagi sekiranya sekiranya suku aku masuk Islam maka aku akan masuk Islam bersama mereka.
Mendengar jaminan Abu Bara’ maka Baginda bersetuju untuk mengirimkan para sahabatnya seramai tujuh puluh orang. Rombongan ini diketuai oleh Munzir bin Amir dari Bani Sa'idah. Rombongan tujuh puluh orang ini adalah dipilih dari kaum muslimin, golongan pemimpin, qari, rajin berqiamulail dan yang paling alim.
Seterusnya Abu Bara’ pun bergerak pulang dan barulah rombongan yang di pimpin 0leh Munzir Bin Amir bergerak menuju ke penempatan Najdi. Sepanjang perjalanan ini mereka turut menyeru kabilah-kabilah lain yang mereka temui untuk menerima Islam. Apabila hampir tiba di perkampungan Bani Amir dan Bani Salim iaitu di Bir’ Ma’unah rombongan ini telah singgah dan mengirimkan utusan iaitu Hiram Bin Milhan membawa risalah Baginda kepada suku Bani Amir.
Risalah ini telah diterima oleh Amir Bin Tufail yang sangat memusuhi Islam. Beliau lantas mengoyak risalah tersebut tanpa membacanya dan mengarahkan pembawa utusan itu dibunuh dengan ditombak dari belakang. Hiram Bin Milhan melaungkan Allahu akbar, aku telah berjaya, aku sudah berjaya demi Tuhan Kaabah. Laungan Hiram Bin Milhan kerana beliau syahid dalam menjalankan tugas dakwah. Kemudian beliau gugur sebagai syuhada. Adalah menjadi satu kesalahan besar membunuh utusan yang membawa risalah.
Melihat utusan ini syahid maka Amir Bin Tufail menyeru kaumnya untuk membunuh semua wakil muslimin yang berjumlah 70 orang ini. Seruan beliau tidak dipersetujui oleh kaumnya kerana mereka mengetahui Abu Bara’ memberi jaminan keselamatan kepada rombongan muslimin ini. Amir bin Tufail berpakat dengan Bani Salim bercadang menyerang dan membunuh rombongan muslimin ini. Munzir Bin Amir terkejut dengan tindakan Amir Bin Tufail kerana mereka telah mendapat jaminan keselamatan dari Abu Bara’. Namun serangan tetap dilakukan dan kesemua darinya gugur syahid. Baki 1 orang yang hidup dalam timbunan mayat adalah Kaab Bin Zaid.
Pada masa yang sama pula Amru bin Umaiyah al-Dhamri yang membawa kenderaan di padang pasir menuju ke Najdi telah ditawan oleh Amir Bin Tufail.
Apa berlaku seterusnya? Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir