Israk dan Mikraj (samb)
Selepas subuh Rasulullah s.a.w berada di Mekah memikirkan hal tentang peristiwa yang telah dilaluinya malam tadi. Ketika Baginda duduk di situ Abu Jahal yang memerhati Baginda menghampirinya dan bertanya.
“Wahai Muhammad, apakah sesuatu berlaku kepadamu.”
Baginda menjawab, “ada.”
“Apakah yang berlaku?” Tanya Abu Jahal.
Baginda menjelaskan, “malam tadi aku telah ke Baitul Maqdis dan telah kembali ke sini.”
Mendengar sahaja Baginda berkata begitu Abu Jahal merasa gembira kerana mendapat modal baru untuk memburukkan dan mempersendakan dakwah Baginda. Kemudian berkatalah beliau,
“Apakah kamu mahu menceritakan kepada kaummu yang lainnya, apa yang baru sahaja kamu ceritakan kepadaku?
Berkata Baginda, “baiklah!”
Lalu Abu Jahal melaungkan suaranya dan memanggil mereka yang berada di Mekah,
“Wahai Bani Ka’ab bin Luay, datanglah kamu semua ke sini!”
Mereka segera datang dan berkumpul di sekeliling Baginda. Kemudian Abu Jahal berkata,
“Ceritakanlah kepada kaummu apa yang baru sahaja kamu katakan kepadaku.”
Berkata Baginda, “ Malam tadi aku telah diisrakkan (diperjalankan)!
Mereka bertanya, “Ke mana?”
Baginda berkata, “Ke Baitul Maqdis!!”
“Baitul Maqdis di Palestin?” Kata mereka tidak percaya, “Kemudian pada waktu pagi begini kamu telah berada bersama kami disini?”
“Ya benar!!” Baginda mengiyakan.
Mereka berpandangan diantara satu sama lain dengan penuh kehairanan dan ada yang berkata Baginda sudah tidak waras. Perjalanan ke Baitul Maqdis yang memakan masa sebulan dengan unta sedangkan Baginda telah kembali tidak sampai satu malam tidak dapat diterima oleh mereka. Kesan dari kata-kata Baginda mengakibatkan ada sebahagian dari mereka yang telah memeluk Islam telah kembali menjadi murtad. Ada yang lemah imannya. Manakala kebanyakan kaum kafir semakin kufur dan kuat menentang dakwah Baginda.
Beberapa orang telah mencari Abu Bakar untuk menceritakan apa yang mereka telah dengar dari Baginda. Abu Bakar apabila diceritakan kata-kata Baginda terus memberikan reaksinya,
“Sekiranya Muhammad yang berkata begitu, sesungguhnya dia bercakap benar.”
Kemudian Abu Bakar menuju ke Kaabah untuk bertemu Baginda dan beliau dapati ramai kaum Quraisy mengerumuninya. Lalu bertanyalah Abu Bakar,
“Wahai Rasululullah, benarkah kamu telah ke Baitul Maqdis?
Jawab Baginda, “ya benar.”
Kemudian Abu Bakar berkata, “benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad.”
Abu Bakar telah menyakini apa yang diucapkan oleh Baginda kerana beliau mengenali Rasulullah sebagi seorang yang tidak pernah berdusta. Hakikat sebenarnya penduduk di Mekah semua mengetahui Baginda seorang yang jujur dari awal mereka mengenalinya. Keyakinan Abu Bakar itu mengembirakan Baginda lalu berkatalah Baginda,
“Engkau telah membenarkan apa yang aku katakan wahai Abu Bakar As Siddiq.”
Bermula dari saat inilah Abu Bakar dipanggil As Siddiq yang membenarkan.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir