Israk dan Mikraj (samb)
Terdapat beberapa hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj. Memadai dinyatakan satu didalam penulisan ini.
Imam Muslim merekodkan: Syaiban bin Farruj menceritakan kepadaku daripada Hammad bin Salamah, daripada Sabit bin al-Bunani, daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w berkata:
Aku telah didatangi al-Buraq, iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut al-Buraq tersebut mencecah bumi.
Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitul Maqdis. Lalu aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril, aku memilih susu. Lalu Jibril berkata, “Engkau telah memilih fitrah.”
Kemudian Jibril membawaku naik ke langit. Ketika Jibril meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya, “siapakah engkau?” Dijawab oleh Jibril, “aku Jibril.” Kemudian ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad. Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya dia telah diutuskan.” Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika itu aku bertemu dengan Nabi Adam beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.
Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “Aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa ibnu Maryam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud : Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.
Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi, “siapakah engkau?” Dijawabnya, “aku Jibril.” Jibril ditanya lagi, “siapakah bersamamu?” Jibril menjawab, “Muhammad.” Jibril ditanya lagi, “adakah dia telah diutuskan?” Jibril menjawab, “ya, dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya.
Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Ketika aku merayau-rayau meninjau kejadian Allah, aku dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.
Lalu Allah memberikan wahyu kepada aku dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Apabila aku turun dan bertemu Nabi Musa, dia bertanya, “apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu?” Aku menjawab, “solat lima puluh waktu.” Nabi Musa berkata, “kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israil dan memberitahu mereka.”
Lalu aku kembali kepada Tuhanku dan berkata, “Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku.” Lalu Allah mengurangkan sehingga lima waktu solat.
Aku kembali kepada Nabi Musa dan berkata, “Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku.” Nabi Musa berkata, “umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.”
Aku tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa, sehinggalah Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.”
“Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya.”
Lalu aku turun hingga sampai kepada Nabi Musa, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata, “kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan.” Baginda menyahut, “aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepadaNya.”
Nota : Hadis yang mempunyai kandungan serupa direkodkan juga oleh al-Bukhari dalam bab Mikraj, no 3800. Hadis Sahih yang berkaitan juga boleh di dapati dalam rekod berikut : Al-Bukhari: 3394, 3437, 4709, 5576, 5603. Muslim : 272. Ahmad: 512.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir