CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 121)
Peristiwa Sedih Maa’ Al Raji’
Dua kabilah kecil iaitu Udhal dan Qaarah merancang untuk melakukan pembunuhan terhadap umat Islam Madinah. Mereka telah berpakat juga dengan Bani Huzail untuk melakukan serangan namun selepas kematian Khalid Bin Sufyan iaitu ketua Bani Huzail maka mereka tidak berani untuk menyerang Madinah tetapi berkata sanggup membantu kabilah Udhal dan Qaarah.
Kabilah ini telah berpura-pura dan menghantar wakil bertemu dengan Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan berita bahawa terdapat di kalangan mereka yang telah menganut Islam. Lalu mereka meminta kepada Baginda agar dikirimkan beberapa orang untuk mengajarkan perihal Islam dan al Quran. Maka Baginda bersetuju untuk menghantar beberapa orang untuk mengajar mereka. Menurut riwayat Ibnu Ishak dan Bukhari jumlah yang dihantar adalah 10 orang manakala dalam riwayat yang lain adalah 6 orang sahaja.
Wakil yang dipilih oleh Baginda adaah Asim Bin Thabit iaitu datuk kepada Asim Bin Umar Al Khattab. Asim Bin Thabit pernah menyertai perang Badar dan telah membunuh 2 orang pemegang bendera musyrikin ketika peperangan berlangsung. Beliau juga termasuk yang mahir dalam al Quran bukan sekadar pahlawan perang.
Pasukan ini berangkat dan tiba di tempat bernama al-Raji’ iaitu kawasan air kabilah Bani Huzail, tiba-tiba mereka telah diserang dan dikepung oleh 200 orang tentera berkuda. Pasukan Islam cuba lari dan menyelamatkan diri namun tidak berjaya kerana jumlah musuh sangat ramai dan mereka pula sudah masuk perangkap yang memang sudah disediakan dari awal lagi. Berlaku tawaran kepada Asim Bin Thabit untuk bersama mereka dan mereka akan selamat. Namun Asim Bin Thabit menolak apa jua tawaran dari musuh Islam dan musuh Allah.
Akibat penolakkan tawaran ini maka berlakulah peperangan dengan musuh. Asim Bin Thabit tetap menyerang dan membunuh pasukan musuh hinggakan tiada siapa yang berani mendekatinya. Akhirnya mereka diserang dengan anak-anak panah yang menghujani pasukan Islam dan menyebabkan 7 orang terbunuh. Musuh telah memenggal kepala Asim Bin Thabit yang gugur syahid.
Kini tinggal 3 orang sahaja iaitu Abdullah Bin Thariq, Khubaib Bin Adi dan Zaid Bin Dassinah. Mereka dijadikan tawanan oleh orang-orang Udhal dan Qaarah. Tetapi Abdullah Bin Thariq berjaya melepaskan diri lalu mengambil pedang dan melawan mereka namun beliau akhirnya mati dibunuh. Tinggal 2 wakil Islam yang dibawa ke Mekah untuk dijadikan tukaran tawanan oleh kabilah Udhal dan Qaarah yang ditawan oleh musyrikin.
Apabila tiba di Mekah Khubaib Bin Adi dan Zaid Bin Dassinah cuba dijual kepada kafir Quraisy. Tindakan ini menyebabkan kafir Quraisy menjadi gembira untuk melanyak dan membunuh kedua-dua wakil Islam yang telah membunuh saudara mereka dalam peperangan Uhud.
Apakah terjadi kepada 2 wakil Islam ini? Bersambung....
Ust. Sabir