Pada bulan Zulkaedah tahun ke 11 Hijrah Baginda mengumumkan untuk mengerjakan ibadah haji ke Mekah. Inilah ibadah Haji pertama dan terakhir yang dilakukan oleh Baginda. Baginda telah melakukan umrah sebanyak empat kali tetapi ibadah Haji hanyalah sekali sahaja. Ramai para kabilah yang turut serta mengikuti Baginda mengerjakan ibadah Haji.
Antara perkara penting pesanan yang telah disampaikan oleh Baginda dalam khutbahnya,
Wahai manusia, dengarlah kata-kata ini! Aku tidak tahu, sekiranya sesudah tahun ini, dalam keadaan seperti ini, aku tidak lagi akan bertemu dengan kamu semua.
Saudara-saudara. Bahawasannya darah kamu dan harta-benda kamu semuanya adalah suci buat kamu, seperti hari ini dan bulan ini yang suci sampai datang masanya kamu semua akan menghadap Tuhan. Dan pasti akan menghadap Tuhan, pada waktu itu kamu akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatanmu. Ya, aku sudah menyampaikan ini!
Barang siapa telah diserahkan amanah, tunaikanlah amanah itu kepada yang berhak menerimanya.
Bahawa semua riba sudah tidak berlaku. Tetapi kamu berhak menerima kembali modalmu. Janganlah kamu berbuat aniaya terhadap orang lain dan jangan pula kamu teraniaya. Allah telah menentukan tidak boleh ada lagi riba dan riba ‘Abbas bin Abdul-Mutalib semua sudah tidak berlaku.
Bahawa semua tuntutan darah selama jahiliyah tidak berlaku lagi dan bahawa tuntutan darah pertama yang aku hapuskan ialah darah Ibnu Rabi’ah bin Al-Harith bin Abdul Mutalib!
Kemudian daripada itu saudara-saudara. Hari ini nafsu syaitan yang minta disembah di negeri ini sudah putus untuk selama-lamanya. Tetapi, kalau kamu turutkan dia walaupun dalam hal yang kamu anggap kecil yang bererti merendahkan segala amal perbuatanmu, nescaya akan senanglah dia. Oleh kerana itu peliharalah agamamu ini baik-baik.
Saudara-saudara. Menunda-nunda larangan di bulan suci bererti memperbesarkan kekufuran. Dengan itulah orang-orang kafir itu tersesat. Pada satu tahun mereka langgar dan pada tahun lainnya mereka sucikan untuk disesuaikan dengan jumlah yang sudah disucikan Tuhan. Kemudian mereka menghalalkan apa yang sudah diharamkan Allah dan mengharamkan mana yang sudah di halalkan.
Zaman itu berputar sejak Allah menciptakan langit dan bumi ini. Jumlah bulan bilangan menurut Tuhan ada dua belas bulan, empat bulan di antaranya ialah bulan suci, tiga bulan berturut-turut dan bulan Rejab antara bulan Jamadil akhir dan Sya’ban.
Kemudian daripada itu, saudara-saudara. Sebagaimana kamu punya hak atas isteri kamu, begitu juga isterimu sama mempunyai hak ke atas kamu. Hak kamu ke atas mereka ialah untuk tidak mengizinkan orang yang kamu tidak sukai menginjakan kaki diatas lantaimu dan jangan sampai mereka secara jelas membawa perbuatan keji. Kalau mereka sampai melakukan itu Tuhan mengizinkan kamu berpisah tempat tidur dengan mereka dan boleh memukul mereka dengan satu pukulan yang tidak sampai mengganggu. Bila mereka sudah tidak lagi melakukan itu, maka kewajipan kamu memberi nafkah dan dan pakaian kepada mereka dengan baik. Berlaku baiklah terhadap isteri-isteri kamu, mereka itu kawan-kawan yang membantumu, mereka tidak memiliki sesuatu untuk diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Tuhan dan kehormatan mereka dihalalkan buat kamu dengan nama Tuhan.
Perhatikanlah kata-kataku ini, saudara-saudara! Aku sudah menyampaikan ini. Ada masalah yang sudah jelas aku tinggalkan di tangan kamu yang jika kamu pegang teguh kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitulah al-Quran dan sunnah Rasul.
Wahai manusia sekalian! Dengarkan kata-kataku ini dan perhatikan! Kamu akan mengerti, bahawa setiap Muslim adalah bersaudara dengan Muslim lain dan kaum Muslimin semuanya bersaudara. Tetapi seseorang tidak dibenarkan (mengambil sesuatu) dari saudaranya, kecuali jika dengan senang hati diberikan kepadanya. Janganlah kamu menganiaya diri sendiri.
Wahai manusia sekalian, sesungguhnya tiada nabi selepas aku ini dan tiada umat lain selain dari kamu, beringatlah supaya kamu menyembah Tuhan kamu, tunaikanlah fardu sembahyang lima waktu, berpuasalah kamu di bulan Ramadhan, tunaikan zakat harta kamu dengan penuh kerelaan hati, tunaikan haji ke rumah Tuhan kamu, dan taatilah pemerintah-pemeritah kamu nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhan kamu.
Ya Allah, sudah aku sampaikan?
Mereka yang mendengar berkata. “Ya telah disampaikan olehmu Ya Rasulullah”.
Katakanlah kepada mereka, bahawa darah dan harta kamu oleh Tuhan disucikan, seperti hari ini yang suci, sampai masanya kamu sekalian bertemu dengan Tuhan.
Ya Allah! sudahkah kusampaikan?
Mereka yang mendengar berkata. “Ya telah disampaikan olehmu Ya Rasulullah”.
Ya Allah. saksikanlah ini!
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir