Bani Asad Merancang Menyerang Madinah
Apabila perang Uhud tamat maka musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk menguji tentera kaum muslimin. Mereka merancang untuk menyerang dan menawan Madinah serta menyusun strategi mahu membunuh Rasulullah s.a.w. Kaum Yahudi, munafik dan musyrikin sentiasa mengintai peluang untuk melemahkan Islam yang dipimpin oleh Baginda.
Namun Baginda Rasulullah s.a.w sentiasa bersedia dan mempamerkan kebijaksanaannya dengan memburu musuh-musuh yang cuba mengintip dan berpaling tadah setelah diberikan kemaafan. Akibat tindakan ini musuh menjadi tidak terlalu yakin untuk menewaskan pasukan tentera muslimin di Madinah. Kepimpinan Islam yang dibawah pimpinan Baginda sentiasa bersedia dan tidak pernah leka.
Setelah hampir 2 bulan berakhirnya perang Uhud, satu kumpulan Bani Asad membuat perancangan untuk menyerang Madinah pada bulan Safar tahun ke 4 Hijrah. Bagi mereka umat Islam telah tewas di medan Uhud dan kesannya masih baru maka mudah untuk mereka menawan Madinah. Faktor bumi Madinah yang subur dengan pertanian merupakan antara mengapa mereka mahu menawan Madinah.
Bani Asad telah dipimpin oleh Talhah Bin Khuwailid al Asadi dan saudaranya Salamah Bin Khuwailid al Asadi untuk melakukan serangan ke Madinah. Apabila berita Bani Asad hendak menyerang Madinah sampai ke pengetahuan Baginda, maka segeralah diatur pasukan yang terdiri dari 150 orang dipimpin oleh Abu Salamah. Abu Salamah namanya sebelum memeluk Islam adalah Abdullah bin Abdul Asad. Beliau antara yang awal masuk Islam dan berhijrah ke Madinah yang kemudiannya dituruti bersama oleh isterinya Ummu Salamah.
Keadaan kesihatan Abu Salamah masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan dari perang Uhud namun beliau tetap bersemangat untuk memimpin pasukannya menyerang Bani Asad yang melampau. Apabila tiba sahaja di tempat Bani Asad mereka bersedia untuk bertempur dan Abu Salamah pun menyerang menyebabkan Bani Asad semuanya lari meninggalkan tempat mereka. Sebenarnya tidak berlaku peperangan sebagaimana yang diharapkan kerana semuanya telah lari meningalkan segala binatang ternakan mereka. Maka Abu Salamah mengambil semua ternakan iaitu unta dan biri-biri serta harta yang dirampas dibawa ke Madinah. Tidak lama setelah Abu Salamah kembali ke Madinah setelah membawa pasukannya dari perkampungan Bani Asad kesihatan Abu Salamah semakin teruk dan akhirnya beliau wafat di Madinah.
Tampak jelas andaian mereka umat Islam takut dan lemah setelah hampir tewas di peperangan Uhud adalah silap. Sebenarnya semangat pasukan muslimin untuk bergerak lebih jauh menyebarkan Islam semakin terserlah. Musuh tidak boleh pandang ringan keimanan para sahabat yang telah dididik dengan wahyu Allah dan peribadi Rasulullah s.a.w.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir