Israk dan Mikraj
Ketika dakwah disekat di Mekah, cahaya Islam tetap bersinar menerangi jiwa manusia yang datang menunaikan ibadah Haji ke Mekah. Rasulullah s.a.w tidak pernah merasa jemu bahkan tetap bersemangat menyampaikan seruan Islam. Kehilangan isteri yang dikasihi Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib yang menyebabkan Baginda sedih diganjari dengan satu peristiwa yang besar kepada Baginda iaitu Israk dan Mikraj. Ianya bukan sahaja peristiwa penting kepada Baginda bahkan kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w.
Para cendiakawan Islam berbeza pandangan tentang tarikh berlakunya Israk dan Mikraj. Terdapat pelbagai pandangan antaranya,
1. Al-Tabari berpendapat berlakukannya di tahun Baginda dibangkitkan menjadi Rasul
2. Al-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan di tahun kelima kebangkitan Baginda.
3. Al-'Alamah al-Mansurfuri menetapkan pada malam dua puluh tujuh di bulan Rejab tahun kesepuluh kebangkitan Baginda.
4. Pendapat lain mengatakan enam belas bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Ramadhan tahun dua belas kebangkitan Baginda.
5. Ada pendapat mengatakan setahun dua bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Muharam tahun ketiga belas kebangkitan Rasulullah.
6. Satu lagi pendapat menyebut berlakunya setahun sebelum hijrah iaitu di dalam bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kebangkitan Baginda.
Menurut pandangan Syeikh Syafiurrahman al Mubarakfuri beliau mengatakan gaya bahasa surah al-Israk itu menunjukkan Israk itu berlaku di ketika masa-masa yang akhir sebelum Hijrah. Berlakunya Israk dan Mikraj ini telah meninggikan lagi kedudukan Masjidil Aqsa di Palestin. Lihat al Quran meletakkan Masjidil Aqsa ditempat yang mulia,
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya : Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda, (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Isra 17:1)
Al Quran menjelaskan kekuasaan Allah yang mampu melakukan apa sahaja menurut kehendakNya. Satu kelebihan yang diberikan kepada Baginda di saat kesukaran dalam berdakwah iaitu eksplorasi malam hari menuju ke Masjidil Aqsa dari Mekah. Perjalanan ini bukanlah seperti perjalanan yang dilalui oleh mana-mana manusia biasa tetapi adalah anugerah tidak ternilai buat Baginda. Terdapat banyak hadis mengambarkan peristiwa ini dengan riwayat yang pelbagai. Antara yang boleh dicoretkan disini beberapa kupasan oleh tokoh-tokoh Islam adalah seperti berikut,
Ibnu al-Qayim telah menyebut, Rasulullah telah diIsrakkan dengan jasadnya dari Masjid al Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq, ditemani oleh Jibril. Rasulullah turun ke Baitul Maqdis dengan mengimami sembahyang bersama para Anbiya yang terdahulu, Buraq ditambat di halaman Masjid al Aqsa.
Perjalanan biasa menaiki unta ke Masjidil al Aqsa di Palestin mengambil masa sekitar 40 hari. Namun Allah telah menyediakan seekor binatang yang bernama Buraq yang sangat pantas untuk membawa Baginda. Peneman kepada Baginda tidak lain adalah Jibril yang sentiasa membawa wahyu kepada Baginda. Apabila tiba di Masjidil Aqsa, telah menanti Baginda adalah para Rasul dan Nabi. Para cendiakawan Islam mengatakan jumlah Rasul iaitu 315 dan jumlah para Nabi 124,000 mengikut dibelakang Baginda yang memimpin solat.
Inilah satu-satunya perhimpunan yang tidak akan berulang lagi di dunia. Semua Rasul dan Nabi berkumpul bersama Rasulullah s.a.w. Ianya tanda kemuliaan Baginda yang disediakan Allah. Namun ini baru perjalanan dunia belum lagi perjalanan ke langit iaitu Mikraj.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir