Perjanjian Hudaibiyah
Sudah hampir enam tahun lamanya Baginda dan para Sahabat meninggalkan Mekah dan tinggal di Madinah. Sepanjang tempoh itu para Sahabat dengan bimbingan Baginda telah berhadapan dengan pelbagai peperangan, cabaran dan misi dakwah bagi mengembangkan Islam. Selama itu jugalah mereka tidak kembali ke Mekah. Kini peperangan semakin reda dan keinginan Baginda untuk memasuki Mekah semakin mengamit jiwanya.
Sehinggalah satu hari Baginda bermimpi memasuki Masjidil Haram bersama para Sahabatnya, memegang anak kunci, bertawaf dan melaksanakan ibadah Umrah. Ada diantara mereka yeng mencukur rambutnya dan ada yang memendekkan rambutnya. Mimpi ini telah diceritakan oleh Baginda kepada para Sahabat.
Mimpi Rasul bukanlah satu mimpi biasa tetapi satu petanda gembira sudah ada sinar Mekah akan dikuasai kembali oleh orang-orang yang mentaati Rasul sebagaimana mereka yang taat kepada Nabi Ibrahim dan Ismail. Baginda mengumumkan secara meluas dan mengajak seramai mungkin untuk turut serta dalam rombongan ke Mekah. Para Sahabat segera membuat persiapan dan menanti saat yang paling dinanti-nantikan.
Namun ada yang tidak mahu turut serta dengan rombongan ini kerana khuatir belum ada perdamaian dengan kafir Quraisy maka mereka takut perjalanan ini adalah menempah maut maka mereka memberikan alasan untuk tidak bersama Baginda. Al Quran menceritakan sikap mereka,
سَيَقُولُ لَكَ الْمُخَلَّفُونَ مِنَ الأعْرَابِ شَغَلَتْنَا أَمْوَالُنَا وَأَهْلُونَا فَاسْتَغْفِرْ لَنَا يَقُولُونَ بِأَلْسِنَتِهِمْ مَا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ قُلْ فَمَنْ يَمْلِكُ لَكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا إِنْ أَرَادَ بِكُمْ ضَرًّا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ نَفْعًا بَلْ كَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا (11) بَلْ ظَنَنْتُمْ أَنْ لَنْ يَنْقَلِبَ الرَّسُولُ وَالْمُؤْمِنُونَ إِلَى أَهْلِيهِمْ أَبَدًا وَزُيِّنَ ذَلِكَ فِي قُلُوبِكُمْ وَظَنَنْتُمْ ظَنَّ السَّوْءِ وَكُنْتُمْ قَوْمًا بُورًا (12)
Maksudnya : Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan berkata, "Kami telah disibukkan oleh harta dan keluarga kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami.” Mereka mengucapkan sesuatu dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah, "Maka siapakah yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki bencana terhadap kamu atau jika Dia menghendaki keuntungan bagimu? Sungguh, Allah Maha Teliti dengan apa yang kamu kerjakan.” (11) Bahkan (semula) kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin sekali-kali tidak akan kembali lagi kepada keluarga mereka selamanya dan dijadikan terasa indah yang demikian itu di dalam hatimu dan kamu telah berprasangka dengan prasangka yang buruk kerana itu kamu menjadi kaum yang binasa. (12)
Maka berangkatlah rombongan Baginda dan para Sahabatnya berjumlah 1400 orang (ada riwayat yang mengatakan 1500) pada hari Isnin bulan Zulkaedah tahun ke 6 Hijrah. Rombongan ini turut disertai oleh kaum Ansar, Muhajirin dan beberapa kabilah lain yang turut serta. Ummu Salamah isteri Baginda telah terpilih kali ini untuk menemani Baginda dalam pemusafiran ke Mekah.
Tujuan rombongan ini bukanlah untuk berperang dan mereka tidak membawa peralatan senjata melainkan pedang yang bersarung seperti mana kebiasaan bagi para musafir. Setibanya di Dzulhulaifah kini dikenali dengan nama Bir Ali, maka Baginda dan para Sahabat pun memakai ihram dan niat untuk mengerjakan umrah.
Laungan talbiah bergema dengan suara yang semangat para Sahabat untuk memasuki Mekah bagi mengerjakan Umrah. Namun apakah yang menanti mereka?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir