Keadaan serangan kepada Rasulullah s.a.w semakin giat dilancarkan oleh tentera musuh. Mereka memang berhasrat untuk bersungguh-sungguh membunuh Baginda. Setiap ruang yang ada pasti digunakan untuk menjadikan Baginda sebagai sasarannya. Seperti yang disebut sebelum ini berlaku kecederaan kepada tubuh Baginda akibat serangan yang berasak-asakkan.
Di dalam hadis sahih meriwayatkan bahawa gigi depan Rasulullah terpatah, kepalanya terluka hingga darah mengalir, namun Rasulullah s.a.w masih menyebut: "Bagaimana boleh berjaya sesuatu kaum yang melukakan muka nabi mereka, ketika mereka mematahkan giginya semasa Baginda menyeru mereka kepada Allah".
Kemudian Allah menurunkan firmanNya,
لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ
Maksudnya : Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Dia menyeksa mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim. (Ali Imran 3:128)
Kemurkaan Allah ke atas mereka yang menyakiti Baginda. Namun Baginda tetap berdoa agar memaafkan kaumnya yang tidak mengatahui. Lihat maksud hadis yang diriwayatkan oleh al Tabrani.
“Bersangatan kemurkaan Allah ke atas satu kaum yang mencederakan muka RasulNya, setelah beberapa ketika Rasulullah berdoa, "Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah kaumku lantaran mereka tidak mengetahui".
Manakala dalam sahih Muslim pula diriwayatkan dengan katanya, "Tuhanku ampunilah kaumku lantaran mereka tidak mengetahui".
Manakala di dalam kitab "al-Shifa"' oleh al-Qadhi Eyadh pun menyebut makna yang sama, "Ya Allah Ya Tuhanku berilah hidayah kepada kaumku lantaran mereka tidak mengetahui".
Inilah Rasulullah tetap mengharap mereka yang menyekat dakwah dan menyakitinya tetap mendapat hidayah dari Allah. Hebat sungguh dirimu Ya Rasulullah.
Dua orang Sahabat Saad Bin Abi Waqqas dan Talhah Bin Ubaidillah tetap teguh mara mempertahankan Rasulullah s.a.w. Dua pahlawan ini tidak mampu ditewaskan oleh ramai tentera musuh. Saad tangkas memanah dengan iringan doa Baginda manakala Talhah mara ke medan merempuh dengan pedangnya hingga luka yang banyak ditangannya.
Al-Hakim menyebut di dalam kitabnya: "al-Iklil", “berlaku di dalam peperangan Uhud ini di mana beliau (Talhah) terkena tetakan sebanyak tiga puluh sembilan atau tiga puluh lima lubang dan terpotong jarinya.”
Manakala al-Bukhari meriwayatkan dari Quis bin Abi Hazim katanya, “aku melihat tangan Talhah terpotong, ini berlaku kerana beliau mempertahankan diri Rasulullah s.a.w di dalam peperangan Uhud.”
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir