Penduduk Luar Mekah Menganut Islam
Abu Zar al-Ghaffari (samb)
Dakwah Abu Dzar telah berjaya membawa kabilah al Ghifar masuk Islam. Setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, beliau dan rombongan kemudiannya menuju ke Madinah. Ketika rombongan ini hampir memasuki Kota Mekah kedengaran bunyi kuat seperti guruh ianya kalimah takbir yang diungkapkan oleh mereka seolah-olah bunyi seperti kumpulan perang. Baginda Rasulullah s.a.w keluar untuk melihat rombongan ini dan dilihatnya kabilah al Ghifar terdiri dari kanak-kanak, pemuda, perempuan, lelaki dan orang tua semuanya memeluk Islam. Didapatinya Abu Dzar ada bersama.
Baginda kemudiannya bersabda, "tidak akan pernah lagi dijumpai di bawah langit ini, orang yang lebih benar ucapannya dari Abu Dzar. Benar batinnya, benar juga lahirnya. Benar akidahnya, benar juga ucapannya."
Sepanjang tinggal di Madinah, Abu Dzar sentiasa mendampingi Rasulullah s.a.w. Beliau telah meminta untuk menjadi pegiring Baginda dan permintaannya di penuhi oleh Rasulullah s.a.w dengan senyuman. Ada yang menyatakan Baginda Rasulullah s.a.w amat senang sekali bila melihat Abu Dzar. Pada suatu hari Baginda telah berkata kepada beliau,
“Wahai Abu Dzar, kamu adalah seorang yang soleh, sungguh kamu akan ditimpa berbagai malapetaka sepeninggalku”.
Maka Abu Dzar pun bertanya, “apakah musibah itu sebagai ujian di jalan Allah?”
Rasulullah s.a.w pun menjawab : “Ya, di jalan Allah”.
Dengan penuh semangat Abu Dzar pun menyatakan, “selamat datang wahai malapetaka yang Allah taqdirkan”
Kesabaran Abu Dzar sangat hebat sehingga beliau terkenal dengan kezuhudan dan suka membantu golongan yang lemah. Harta dan kekayaan tidak pernah berbekas dalam hatinya. Ini kerana beliau berpegang teguh dengan kata-kata Rasulullah s.a.w ketika Baginda berwasiat kepadanya.
Telah berwasiat kepadaku orang yang amat aku cintai (iaitu Rasulullah s.a.w) dengan tujuh perkara,
1. Ia memerintahkan aku untuk mencintai dan mendekati kaum fakir miskin;
2. Ia memerintahkan aku untuk memandang kepada orang yang dibawah aku (dalam urusan dunia) dan tidak memandang kepada orang yang diatasku.
3. Ia memerintahkan aku menghubungkan silaturahim sekalipun aku telah membelakanginya.
4. Ia memerintahkan aku untuk tidak meminta sesuatu apapun kepada seseorang.
5. Ia memerintahkan aku untuk tidak menaruh takut dalam berjuang pada jalan Allah terhadap celaan.
6. Ia memerintahkan aku untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit.
7. Dan ia memerintahkan aku supaya banyak mengucapkan kalimah "La haula wala quawata illa billah." Kerana semua itu adalah simpanan yang terletak di bawah arasy.(Riwayat Ahmad)
Ketika Abu Dzar hampir menemui kematiannya, isterinya menangis dan bertanyalah beliau kenapa dia menangis. Isterinya berkata bahawa dia sedih kerana tidak tahu bagaimana hendak mengkafaninya kerana tiada sehelai kain kafan pun yang ada. Kemudian Abu Dzar pun menceritakan kisahnya bersama Rasulullah, beliau bersabda,
“Pastilah ada salah seorang di antara kamu yang akan meninggal di padang pasir liar, yang akan disaksikan nanti oleh satu rombongan orang-orang beriman…!”.
Orang yang dimaksudkan Rasulullah itu benarlah Abu Dzar kerana kemudian ada satu rombongan orang beriman yang melalui padang pasir yang berada di Rabadzah, seorang sahabat Abdullah bin Mas’ud. Abdullah bin Mas’ud menangis ketika melihat Abu Dzar telah meninggal dunia dan ia membenarkan ucapan Rasulullah pada saat perang Tabuk tentang Abu Dzar,
“Kamu berjalan sebatang kara…Mati sebatang kara….Dan dibangkitkan nanti sebatang kara…!”
Begitulah seorang sahabat yang bukan asalnya penduduk Mekah yang memeluk Islam dan menjadi manusia yang begitu mulia. Hidupnya sentiasa mendampingi Rasulullah sehingga Baginda wafat.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir