Perang Badar & Ambang Kekalahan Musyrikin (samb)
Seorang tentera musyrikin yang bernama Ubadah Bin Saad al Ash amat sukar untuk ditewaskan di dalam peperangan Badar ini kerana beliau memakai baju besi dari atas kepala sampai ke bawah kakinya. Tiada ruang untuk tikaman menembusi tubuhnya. Malah ramai di kalangan tentera muslimin tercedera akibat serangannya. Ada yang telah bertemu dengan Baginda dan mengadu hal ini. Baginda mengutuskan Zubair Bin Al Awwam untuk menghadapinya.
Berkata Zubair, “aku pergi kepada Ubadah dan berpusing dikelilingnya mencari-cari jika ada ruang yang dapat menembusi tubuhnya. Namun tidak ada melainkan matanya sahaja. Aku membawa tombak ke arahnya dan membaling ke matanya sehingga tembus belakang kepalanya hingga beliau mati.”
Seorang tentera muslimin yang bernama Abu Qatadah telah mengalami kecederaan parah akibat terkena panah dari musuh di kepalanya. Akibatnya matanya terkeluar dan tergantung lalu para sahabat telah memapahnya dan ingin membantu dengan cara memotong urat matanya. Namun Abu Qatadah mahu berjumpa Rasulullah terlebih dahulu. Apabila tiba dihadapan Baginda, maka Rasulullah s.a.w memegang mata Abu Qatadah dan memasukkan kembali matanya dan menyapunya. Mata Abu Qatadah kembali seperti sedia kala. Berkata Abu Qatadah, “selepas itu aku tidak mengetahui mana satukah mata aku yang tercedera dahulu.”
Inilah mukjizat yang diberikan Allah kepada Baginda di dalam peperangan Badar. Apabila Allah ingin memberi kemenangan maka diberikan kekuatan dan semangat tinggi kepada para tentera muslimin. Antara mukjizatnya yang lainnya adalah mereka melihat jumlah tentera musyrikin sedikit sekali manakala tentera musuh pula melihat tentera muslimin dalam jumlah yang ramai. Al Quran menjelaskan hal ini,
وَإِذْ يُرِيكُمُوهُمْ إِذِ الْتَقَيْتُمْ فِي أَعْيُنِكُمْ قَلِيلًا وَيُقَلِّلُكُمْ فِي أَعْيُنِهِمْ لِيَقْضِيَ اللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا ۗ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka, sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu dan kamu pula diperlihatkanNya sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. (Al Anfal 8:44)
Seorang Sahabat bernama Abu Ubaidah Al Jarrah sedang meluru untuk bertempur dengan tentera Quraisy. Namun para tentera Quraisy sedaya upaya mengelakkan diri untuk bertempur dengan beliau kerana tahu ketangkasan Abu Ubaidah Al Jarrah. Pada masa yang sama pula ada seorang tentera Quraisy mengekori Abu Ubaidah dari belakang untuk bertempur dengannya namun Abu Ubaidah pula mengelakkan diri dari panglima Quraisy ini. Akhirnya mereka berhadapan juga tanpa Abu Ubaidah dapat mengelakkan diri lagi. Pertarungan berlaku diantara mereka berdua yang mengakibatkan panglima Quraisy ini dibunuh oleh Abu Ubaidah. Musuh yang terbunuh itu adalah ayah kepada Abu Ubaidah iaitulah Al Jarrah.
Allah dan Rasul sentiasa menjadi keutamaan para Sahabat siapa yang memilih untuk menentang Rasul adalah sama dengan menentang Allah. Walaupun kaum keluarga atau kerabat yang menentang Allah dan Rasul maka tiadalah yang dapat menghalangnya melainkan kematian.
Di mana Abu Jahal dalam peperangan ini? Insya Allah bersambung esok.
Ust. Sabir