Abbas bin Abdul Mutalib dengan segera melaungkan suaranya dengan menyebut,
“Dimanakah mereka yang berbaiah (berjanji) di bawah pohon Samurah?”
Iaitu para Sahabat yang pernah berjanji taat setia semasa peristiwa perjanjian Hudaibiyah dahulu. Kemudian Abbas melaungkan lagi,
“Wahai ashabul Samurah! Wahai Ansar! Wahai Muhajirin!
Apabila mendengar suara Abbas bin Abdul Mutalib para Sahabat berpaling dan terus meluru menuju ke suara itu. Mereka yang menunggang unta tidak dapat bergerak lagi terus meninggalkannya dan yang berlari menuju ke arah Rasulullah s.a.w. Para Sahabat melihat keberanian Baginda yang sedikit pun tidak berganjak sewaktu berlaku kucar kacir telah memberikan semangat kembali kepada mereka.
Kini pasukan tentera muslimin telah kembali berkumpul seperti asal tidak berkecamuk lagi. Baginda tetap di atas baghalnya melihat pasukan musuh dan mengarahkan serangan oleh tentera muslimin. Malik bin Auf terkejut melihat kekuatan tentera muslimin yang luar biasa. Beliau mula merasa cemas. Peperangan berterusan dengan serangan kedua-dua pihak tanpa henti. Allah menurunkan bantuan dari kalangan malaikat membantu tentera muslimin. Lihat firman Allah dalam al Quran.
ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ
Maksudnya : Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran) dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir. (Surah at-Taubah 9:26)
Kemudian berkata Baginda, “Inilah ketika peperangan memuncak.” Lalu Baginda mengambil segenggam pasir dan melontarnya ke arah musuh sambil berkata, "Butalah mata kamu semua".
Dengan izin Allah setiap mata musuh terkena pasir lontaran Rasulullah s.a.w menyebabkan semangat mereka luntur dan keadaan mereka menjadi kucar kacir. Allah memasukkan perasaan gentar dalam jiwa mereka. Keadaan musuh jadi kelam kabut dan jumlah kematian dipihak musuh mulai meningkat. Pihak musuh tiada pilihan melainkan berundur dan melarikan diri. Baginda mengarahkan diburu mereka walaupun telah melarikan diri.
Malik bin Auf turut melarikan diri ke Taif dengan meninggalkan segala harta yang banyak serta meninggalkan kaum wanita dan anak-anak yang mereka bawa. Kegembiraan seketika beliau sudah bertukar sekelip mata menjadi satu mimpi ngeri yang sukar dilupakan sepanjang hidupnya. Beliau telah tersalah langkah dan hilang segala-galanya.
Pada masa itu Sahabat menjumpai Khalid bin al-Walid yang cedera disebalik unta yang duduk. Kecederaannya agak banyak dengan luka ditubuhnya kemudian Baginda merawat Khalid bin al-Walid. Beliau kembali sembuh dan bangun meneruskan tugas mengejar musuh yang melarikan diri.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir