Seruan Dakwah Kepada Raja-Raja.
Dakwah adalah tugas Baginda yang paling utama. Ini antara misi utama Baginda diutuskan. Setiap tindakan dan strategi Baginda sentiasa memastikan agar dakwah akan berkembang serta seruan Tauhid akan sampai ke seluruh pelusuk dunia. Sesuailah dengan firman Allah dalam al Quran,
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhamamda) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Al Anbiya 21:107)
Kesan Perjanjian Hudaibiyah telah mengiktiraf Baginda sebagai pemimpin negara Madinah yang sekaligus memberi ruang yang besar untuk dakwah berkembang. Pada hujung tahun ke 6 Hijrah selepas Perjanjian Hudaibiyah, Baginda mula mengutus surat kepada para Raja menyeru mereka menerima Islam. Para Sahabat menyampaikan kepada Baginda bahawa para Raja ini tidak akan melayan surat yang tidak mempunyai cop mohor sebagai bukti datangnya dari pemimpin sesebuah negara. Maka Baginda mengarahkan dibuat cop mohor yang bertulis Muhammad Rasulullah.
Baginda telah memilih beberapa orang Sahabat sebagai pembawa risalah Baginda untuk disampaikan kepada Raja-Raja. Setelah isi kandungan surat ditulis maka pada awal tahun ke 7 Hijrah sekitar bulan Muharam Baginda mengarahkan wakilnya membawa surat ini kepada Raja-Raja. Antara negara yang dikirimkan surat Baginda adalah Habsyah (Ethopia) iaitu kepada Raja Najasyi yang bernama Ashamah bin Al-Abjar.
Isi kandungan surat tersebut terdapat perbezaan antara para periwayat sirah. Penulis memilih pandangan Syeikh Saffiyu Al Rahman Al Mubarakfuri dalam bukunya Al Raheq Al Maqtum iaitu seperti berikut,
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
“Daripada Muhammad Rasulullah kepada al-Najasyi, pemerintah besar negara Habsyah. Salam sejahtera ke atas orang yang mahu mengikut petunjuk. Adapun selepas itu, bahawa sesungguhnya aku mengutuskan kepadamu pujiku kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. Dialah Tuhan "al-Malik al-Quddus (yang maha suci), al-Salam (yang maha sejahtera), al-Mu'min al-Muhaimin (yang memberikan keamanan dan maha berkuasa). Aku bersaksi bahawa Isa adalah anak Mariam Roh Allah dan kalimahNya yang dicampakkan kepada Mariam gadis perawan suci dan menjaga kehormatannya, sehingga dia mengandung Isa dari roh dan tiupanNya, seperti mana diciptakan Adam dengan tanganNya. Aku menyeru kamu menyembah Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya, memberi ketaatan kepadanya. Aku mengajak kamu hendaklah mengikuti aku, beriman dengan apa yang diturunkan kepada aku. Sesungguhnya aku adalah Rasulullah. Aku mengajak kamu dan para tenteramu kepada agama Allah. Dengan itu aku telahpun meyampaikan dan menasihati maka terimalah nasihatku ini. Salam ke atas orang yang mengikut petunjuk".
Raja Najasyi setelah membaca warkah Baginda maka beliau meletakkan warkah tersebut pada matanya. Beliau turun dari singahsananya serta mengistiharkan keislamannya di hadapan Jaafar Bin Abi Talib (sepupu Rasulullah). Raja Najasyi membalas warkah Baginda seperti berikut,
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
"Kehadapan Muhammad Rasulullah dari al-Najaysi Ashamah. Salam sejahtera dan Allah ke atas engkau wahai Nabi Allah, Rahmat Allah dan berkatNya, Allah yang tiada Tuhan selainNya, Adapun setelah itu, telah sampai ke tanganku risalahmu wahai Rasulullah. Berkenaan apa yang engkau sebut tentang Isa, demi tuhan langit dan bumi sebenarNya Isa tidak lebih dan apa yang tuan hamba sebutkan, memang baginda seperti yang tuan hamba sebutkan itu, kami memahami apa yang engkau utuskan kepada kami itu, kami telahpun menerima anak saudara dan sahabat-sahabat tuan hamba itu sebagai tetamu kami. Justeru itu aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah yang sebenar-benarnya dan aku membai’ah (mengikat perjanjian) engkau serta anak saudaramu. Aku menyatakan keislamanku dihadapannya menyerahkan diri kepada Allah tuhan sekalian alam.
Kemudian Baginda meminta dihantar pulang Jaafar Bin Abi Talib dan rombonganya ke Madinah. Mereka belayar dengan dua buah kapal kiriman Raja Najasyi dan tiba di Madinah tidak lama kemudian. Raja Najasyi wafat pada tahun ke 9 Hijrah sebelum sempat bertemu Baginda. Para Sahabat dan Baginda mendirikan solat ghaib atas jenazah Raja Najasyi.
Bersambung esok
Ust. Sabir