Pengkhianatan Yahudi Bani Nadhir
Rasulullah s.a.w bersama para sahabat Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Ali Bin Abi Talib dan beberapa Sahabat yang lain telah pergi bertemu dengan Yahudi Bani Nadhir yang tinggal di Madinah untuk sama-sama menyumbang bagi memberi pampasan kepada 2 orang dari kabilah Amir yang telah dibunuh oleh Amru Bin Umayyah. Yahudi Bani Nadhir bersetuju untuk turut sama menyumbang bagi membayar pampasan tersebut sebagai ikatan kerjasama mereka penduduk Madinah.
Mereka telah meminta Baginda dan para Sahabat tunggu sebentar untuk mereka mengumpul wang pampasan. Namun syaitan menguasai jiwa mereka sehingga terlintas di fikiran mereka melihat Baginda datang tanpa senjata dan dengan jumlah sahabat yang sedikit maka mengapa tidak peluang diambil untuk membunuh Baginda sekarang. Memang begitulah kebencian mereka kepada Baginda sebenarnya tidak pernah padam sebaliknya mereka hanyalah berpura-pura sahaja.
Mereka telah mencadangkan siapa yang yang sanggup membunuh Baginda. Maka berkatalah salah seorang dari Yahudi Bani Nadhir, “siapakah di antara kamu yang berani membawa batu ini ke atas bumbung rumah kemudian humbankan ke atas kepalanya hingga berkecai?.
Maka jawab seorang Yahudi yang terkenal di antara mereka iaitu Amru bin Jahsy, “Aku!.”
Namun mereka telah dinasihati oleh Salam bin Misykam, "jangan buat pekerjaan itu, demi Allah, beliau (Muhammad) akan diberitahu oleh Allah dengan niat kamu itu dan ini merupakan pencabulan ke atas perjanjian kita dengannya".
Namun mereka semua tetap berazam untuk melaksanakan konspirasi membunuh Baginda ketika Baginda bersama mereka di perkampungan Bani Nadhir. Cadangan membunuh Baginda oleh Yahudi Bani Nadhir ini satu pencabulan perjanjian dengan Baginda untuk sama-sama mempertahankan Madinah. Mereka akan berhadapan dengan situasi paling buruk dalam kehidupan mereka.
Ketika Baginda dan para Sahabat menanti untuk mengambil sumbangan pampasan, Jibrail turun dari sisi Allah Rab al-Alamin memberitahu RasulNya tentang niat buruk Yahudi itu. Baginda dengan segera beredar dari tempat itu dan terus pulang ke Madinah.
Para Sahabat tidak diberitahu tentang berita dari Jibril tadi dan mereka membiarkan Baginda berjalan dengan anggapan Baginda keluar untuk membuang air. Baginda segera mengarahkan pasukan tentera bersiap sedia untuk mengempur perkampungan Yahudi Bani Nadhir. Para Sahabat yang masih di perkampungan Bani Nadhir akhirnya pulang ke Madinah setelah lama menanti Baginda. Apabila tiba di Madinah mereka agak terkejut melihat pasukan tentera yang sedang siap bersedia untuk mengempur perkampungan Bani Nadhir. Lalu mereka bertanya mengapa hendak menyerang perkampungan Bani Nadhir sedangkan mereka dan Rasulullah s.a.w pergi ke perkampungan tersebut tadi dengan keadaan yang aman.
Para Sahabat segera bertemu Rasulullah s.a.w dan Baginda menceritakan mengenai niat jahat Yahudi yang telah disampaikan oleh Jibril. Maka persiapan ketenteraan diperkemaskan serta pasukan tentera segera berangkat menuju ke perkampungan Bani Nadhir. Apabila mereka tiba di perkampung tersebut terkejutlah Yahudi Bani Nadhir dan mereka segera menutup pintu kota dan bersiap sedia untuk menghadapi tentera muslimin.
Mereka menghantar wakil bertemu Baginda dan berpura-pura bertanya kenapa Baginda membawa tentera untuk menyerang mereka. Baginda berkata, “kamu semua lebih tahu apa yang kamu lakukan.”
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir