Apabila telah reda keadaan di wadi Hunain maka Rasulullah s.a.w bersama para tentera menuju ke Taif untuk mengejar musuh yang lari ke sana. Segala harta rampasan perang dengan jumlah yang besar diarahkan Baginda di bawa ke satu tempat bernama Ja’ranah (tempat niat umrah). Syeikh Mubarakfuri menyebut dalam kitab sirahnya jumlah harta rampasan perang adalah enam ribu orang tawanan, dua puluh empat ribu ekor unta, lebih empat puluh ribu ekor biri-biri dan empat ribu auqiyah emas (1 auqiyah bersamaan 12 dirham atau syiling perak). Harta ini tidak diagihkan lagi sehingga Baginda sampai ke Ja’ranah.
Bani Hawazin dan Tsaqif yang menguasai susur galur di Taif telah membina benteng atau kubu bagi menghadapi kedatangan tentera muslimin. Mereka telah bersedia dengan segala kemungkinan iaitu persenjataan dan bekalan makanan yang cukup untuk tempoh satu tahun bertahan di dalam kubu mereka.
Apabila tentera muslimin sampai dan berkhemah berdekatan kubu Taif mereka telah dihujani dengan anak-anak panah dan lontaran lembing. Kemudian Baginda mengarahkan khemah mereka diundurkan lebih jauh bagi mengelakkan serangan. Tawaran dan rundingan kepada mereka tidak berjaya. Tentera muslimin telah bertindak menyerang kubu Taif beberapa kali namun tidak berjaya dan terpaksa berundur kerana lontaran lembing dan anak-anak panah yang terlalu banyak. Ramai tentera muslimin cedera dalam cubaan serangan ini.
Serangan tentera muslimin menggunakan kenderaan besar dan berat juga tidak berjaya apabila diserang kembali dengan lontaran seperti manjanik oleh musuh. Akibatnya kenderaan berat tentera muslimin musnah. Khalid bin al-Walid yang mencabar untuk pertarungan satu lawan satu juga tidak disahut oleh musuh. Musuh mengambil tindakan tetap untuk bertahan didalam kubu kerana bekalan makanan mereka boleh bertahan hingga satu tahun.
Seterusnya Baginda menawarkan mana-mana golongan hamba yang berada di dalam kubu yang keluar akan dimerdekakan. Hampir 23 orang keluar dari kubu dan dimerdekakan oleh Baginda bahkan mereka pula memeluk Islam. Baginda mengagihkan mereka kepada para Sahabat untuk membantu bagi menyara hidup mereka.
Taif masih gagal ditembusi lagi oleh tentera muslimin dan Baginda masih tetap di dalam khemahnya serta mengepung kota Taif. Tempoh kepungan sudah masuk hampir 20 hari dan sudah hampir dengan bulan Zulhijjah iaitu bulan Haji yang diharamkan berperang. Apakah yang akan dilakukan?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir