Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Pihak Quraisy masih tidak berpuas hati lagi hasil dari berita yang disampaikan oleh wakil-wakil yang bertemu Rasulullah s.a.w lalu dihantar pula Urwah Bin Mas’ud al Thaqafi. Beliau adalah orang yang sangat dipercayai oleh Quraisy dan sangat berpengalaman dengan hal yang berkaitan dengan diplomasi.
Apabila beliau tiba dihadapan Baginda rombongan muslimin segera mendekati Rasulullah s.a.w termasuk kaum wanita. Urwah Bin Mas’ud al Thaqawi melihat mereka dan menempelak dengan berkata mereka semua ini akan lari meninggalkan Baginda jika berlaku sesuatu. Kata-kata Urwah telah mengundang kemarahan Abu Bakar yang terus menempelak Urwah dengan berkata beliau jenis yang menjilat air kencing berhala al Latta, lalu berkata lagi Abu Bakar bahawa mereka kaum muslimin bukan jenis yang akan lari meninggalkan Baginda.
Kemudian ketika Urwah bercakap-cakap dengan Baginda beliau telah memegang janggut Baginda menyebabkan Mughirah Bin Syu’bah segera mengetuk tangan Urwah dengan hulu pedangnya. Urwah segera mengangkat kepalanya dan bertanya siapa orang yang mengetuk tangannya. Maka dijawab oleh kaum muslimin ianya Mughirah Bin Syu’bah.
Mendengar nama tersebut berkatalah Urwah, “wahai pengkhianat tidakkah dahulu aku yang membersihkan kamu dari kotorang dirimu?” Mughirah Bin Syu’bah adalah anak saudara Urwah. Beliau dahulu pernah dibantu oleh Urwah dibayar bayaran diyat (tebusan) ketika membunuh 13 orang sebelum beliau masuk Islam.
Seterusnya Urwah telah bertanya kepada Baginda tentang tujuan kedatangan rombongan ini. Baginda telah menerangkan sama sebagaimana yang telah dijelaskan kepada wakil-wakil Quraisy yang telah datang sebelum ini. Akhirnya Urwah kembali menemui Quraisy dan berkata kepada mereka,
"Wahai kamu sekalian, demi Allah aku ini pernah menemui raja-raja, Qaisar Roman dan Kisra Parsi serta Maharaja al-Najasyi. Aku tidak pernah pula melihat mereka disanjung sepertimana sahabat-sahabat Muhammad menyanjung diri Muhammad. Demi Allah, beliau meludah tidak sempat ludahannya itu jatuh ke tanah namun sudah ada tangan yang menadahnya dan disapunya ke badan dan muka mereka. Apabila Muhammad menyuruh mereka semua segera melakukannya, apabila beliau berwuduk seolah-olah berlaku pergaduhan kerana masing-masing hendak mengambil air wuduknya. Apabila beliau bercakap semua orang merendah suaranya serta mereka tidak merenung tajam ke mukanya kerana menghormatinya. Beliau ini telah mengemukakan kepada kamu semua perancangannya, ianya suatu perancangan yang bijak dan matang. Aku berharap kamu semua dapat menerimanya.”
Kata-kata Urwah sudah tidak dapat lagi ditangkis oleh Quraisy iaitu memang benarlah Baginda dan rombongan muslimin benar-benar bukan datang untuk berperang sebaliknya sememangnya hanya untuk mengerjakan umrah. Jawapan dari semua wakil Quraisy mengecewakan Quraisy kerana propaganda mengatakan Rasulullah s.a.w datang dengan niat yang tidak baik ditolak oleh kabilah-kabilah yang berada di Mekah.
Mereka mula buntu dan berbincang dengan golongan yang lebih tua dikalangan pembesar Quraisy. Keputusan yang dicadangkan oleh golongan tua Quraisy adalah jalan pendamaian dan bukan peperangan. Namun golongan muda Quraisy tidak berapa cenderung dengan cadangan ini dan mereka mula merancang untuk membuat huru hara dan kekecohan.
Apa yang mereka lakukan? Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir