Abdullah Bin Salam Masuk Islam.
Beliau adalah seorang pendeta yang alim dalam agama Yahudi. Sentiasa menjadi rujukan dan sanjungan penganut Yahudi di Madinah. Mahir dalam kitab Taurat dan seringkali membaca kitab Taurat dan mengulang-ulang bacaan yang berkaitan dengan Rasul akhir zaman. Ketika mendengar tentang kedatangan Baginda ke Madinah dan diceritakan pula oleh ramai orang tentang perwatakkan dan peribadi Baginda, maka beliau ghairah untuk bertemu dan melihat sendiri sosok tubuh tersebut.
Satu hari Abdullah Bin Salam yang berada di kebunnya telah menuju untuk bertemu dengan Baginda. Bagi memastikan Baginda memang seorang Rasul maka diajukan 3 soalan kepada Baginda. Hanya seorang Rasul sahaja yang mampu menjawab persoalan yang ditanya dan sebaliknya jika gagal maka ianya bukanlah seorang Rasul.
Maka Abdullah Bin Salam telah bertanya soalan tersebut kepada Baginda, Al Imam al Bukhari rahimahullah meriwayatkan di dalam sahihnya, dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu. Ketika Rasulullah s.a.w baru tiba di kota Madinah, Abdullah bin Salam segera datang menemui. Ia menyampaikan,
“Sungguh, aku ingin bertanya kepadamu tentang tiga perara. Tidak ada yang mengetahuinya melainkan Nabi sahaja. Apakah tanda pertama hari kiamat? Apakah makanan pertama yang dimakan oleh penduduk syurga? Dan bagaimanakah proses kemiripan seorang anak kepada ayahnya atau ibunya?”
Maka Rasulullah s.a.w menjawab,
“Baru saja Jibril memberitahukan kepadaku jawapannya.”
Abdullah bin Salam menempelak, “Jibril adalah musuhnya orang-orang Yahudi.”
Rasulullah hanya senyum dan tidak berhajat untuk berdebat hal Jibril dengan Abdullah Bin Salam. Lalu Rasulullah s.a.w menjelaskan jawapannya,
“Adapun perihal kemiripan itu, apabila sperma suami lebih dahulu keluar dari sperma isterinya maka (anak) akan mirip ayahnya. Dan apabila sperma isteri lebih dahulu keluar dari sperma suaminya maka akan mirip ibunya. Sedangkan sesuatu yang akan dibangkitkan pertama kali adalah api yang akan muncul dari arah masyriq (timur) dan manusia akan dibangkitkan ke arah maghrib (barat). Adapun makanan yang pertama kali dimakan oleh penduduk syurga adalah hati ikan paus.”
Mendengar jawapan Baginda, maka segera Abdullah Bin Salam mengistihar masuk Islam. Beliau yakin Baginda memang benar Rasul akhir zaman. Segala yang dijelaskan oleh Taurat walaupun telah dimanipulasikan tidak dapat menyembunyikan sifat Rasul akhir zaman.
Kemudian berkatalah Abdullah Bin Salam kepada Rasulullah s.a.w
‘Wahai Rasulullah sesungguhnya orang-orang Yahudi adalah kaum pendusta. Jika mereka mengetahui keislamanku tentu mereka akan mendustakannku dan akan mengatakan sesuatu yang tidak baik maka sembunyikanlah aku dan kumpulkanlah mereka dan tanyakan kepada mereka tentang diriku.’
Kemudian orang-orang Yahudi pun dikumpulkan Baginda bertanya kepada mereka,
“Apa pendapat kamu tentang Abdullah bin Salam?”
Mereka menjawab, “dia adalah pemimpin kami, anak dari pemimpin kami, seorang alim diantara kami dan anak dari orang alim kami, orang terbaik diantara kami dan anak dari orang terbaik diantara kami.”
Lantas Baginda melanjutkan, “apa pendapat kamu jika seandainya dia telah masuk Islam, apakah kamu juga akan masuk Islam?
Mereka menjawab, “dia berlindung kepada Allah, dia tidak mungkin melakukan perkara itu.’
Lalu Baginda memerintahkan, “sekarang keluarlah Abdullah bin Salam!!”
Maka keluarlah Abdullah bin Salam menemui mereka seraya menyatakan,
“Aku bersaksi tiada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”
Mendengar sahaja kata-kata Abdullah Bin Salam lalu mereka mengatakan,
“Dia adalah sejelek-jelek orang diantara kami dan anak dari orang paling jelek diantara kami. Dia adalah orang paling jahil diantara kami dan anak dari orang jahil diantara kami.”
Abdullah bin Salam berkata, ‘Wahai Rasulullah, bukankah tadi telah aku katakan bahawa mereka itu pendusta.”.
Abdullah Bin Salam adalah Yahudi pertama yang masuk Islam.
Bersambung esok kisah Abdullah Bin Salam insya Allah
Ust. Sabir