Hijrah ke Madinah (samb)
Pihak kafir Quraisy tidak membenarkan kaum Muslimin untuk meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Namun para sahabat Baginda tetap mencari ruang dan peluang untuk keluar berhijrah ke Madinah. Antara sahabat yang telah keluar berhijrah adalah Umar Al Khattab. Beliau melengkapkan bekalan makanannya dan untanya serta telah tawaf di Kaabah sebelum berhijrah ke Madinah. Kemudian setelah selesai tawaf Umar berkata dengan laungan yang kuat sambil diperhatikan oleh kafir Quraisy.
“Siapa yang mahu ibunya kehilangan anak, isterinya menjadi janda atau anaknya menjadi yatim tunggulah aku dibelakang bukit kerana aku akan berhijrah ke Madinah.”
Cabaran Umar terhadap musyrikin Mekah tidak disambut oleh sesiapa pun. Kafir Quraisy hanya melihat sahaja Umar dan tidak sesekali berani menghalangnya untuk berhijrah. Menghalang Umar adalah merupakan satu kesilapan paling besar dan mereka juga mengetahui bahawa Umar bukan sembarangan tandingannya. Umar telah keluar berhijrah tanpa menghadapi sebarang masalah dan telah sampai ke Madinah dengan selamatnya.
Penghijrahan kaum muslimin terus berlaku hari demi hari, namun Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan Ali Bin Abi Talib masih tetap di Mekah. Pergerakan mereka pula sentiasa dipantau ketat oleh musyrikin Mekah. Satu hari Abu Bakar telah meminta izin kepada Rasulullah s.a.w untuk berhijrah, namun Baginda mengatakan belum sampai masanya untuk beliau berhijrah. Tunggulah sehingga diperintahkan dan ada teman yang akan bersama dengannya berhijrah nanti.
Ketika mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. beliau akur dan amat berharap teman yang akan menemaninya nanti adalah Baginda Rasulullah s.a.w. Walaupun masih belum tahu bilakah waktu untuk berhijrah, Abu Bakar telah menyiapkan segala persiapan. Semakin ramai yang telah keluar berhijrah dan yang tinggal kini hanyalah Rasulullah s.a.w dan keluarganya yang terdekat sahaja.
Satu hari Baginda telah bermimpi sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari,
“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak pokok tamar. Pada mulanya aku menyangka ianya Yamamah atau Hajar tetapi ianya adalah Madinah, iaitu Yathrib.”
Perintah untuk Baginda berhijrah telah tiba. Pada masa yang sama pula kafir Quraisy juga telah merancang untuk mengambil tindakan paling keras iaitu mahu membunuh Rasulullah s.a.w.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir