Rentetan Berlakunya Peperangan Uhud.
Pihak Quraisy masih tidak dapat lupa dan menyembuhkan kesan luka dari kekalahan perang Badar. Kematian para panglima Quraisy sentiasa menyelubungi jiwa mereka. Kini mereka menghadapi masalah lebih besar iaitu untuk berdagang ke Syam kerana sebelum ini laluannya adalah menyelusuri jalur Madinah. Laluan mereka pastinya akan disekat oleh penduduk muslim Madinah sekiranya masih menggunakan laluan ini. Kerisauan mereka ialah bagaimana untuk menuju ke Syam tanpa melalui jalur Madinah.
Akhirnya mereka mendapat laluan baru ke Syam dengan menyelusuri jalan ke Iraq terlebih terlebih dahulu. Walaupun laluan ini akan memakan masa yang lebih lama namun ianya adalah jalur yang paling selamat tanpa dapat dihidu oleh pasukan dari Madinah. Bagi perjalanan yang pertama melalui jalur ini Abu Sufian telah mengetuainya. Jumlah harta yang dibawa untuk didagangkan menurut ahli sirah ialah sekitar 1 juta dirham wang perak. Wang ini digunakan untuk membeli barang di Syam dan dijual pula ke Yaman.
Ketika mereka mendapat nikmat dari perniagaan yang maju, Allah memberi ingatan agar mensyukuri nikmat dan hanya menyembah Allah. Lihat firman Allah,
لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (3) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآَمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ (4)
Maksudnya : Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy, (iaitu) kebiasaannya aman tenteram perjalanan mereka pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan musim panas (ke negeri Syam). Oleh itu hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah ini (Ka’bah). Tuhan yang telah memberi penghidupan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy 106:1-4)
Namun perjalanan dagang melalui jalur baru menuju ke Syam dan Yaman akhirnya bocor juga. Ianya dibongkar oleh seorang pembesar kafir Quraisy iaitu Nuaim Bin Mas’ud. Beliau berkawan dengan seorang Sahabat bernama Sulait. Mereka berdua berkawan baik semenjak berada di Mekah lagi. Pada satu hari ketika mereka berada dalam majlis minum arak Nuaim telah menceritakan tentang jalan baru yang digunakan oleh pedagang Quraisy menuju ke Syam dan Yaman. Mendengar berita tersbut Sulait yang tidak mabuk (sebelum itu wahyu belum turun mengharamkan arak) terus mendapatkan Baginda untuk mengkhabarkan berita tersebut.
Baginda telah mengarahkan pasukan tentera Islam digerakkan dengan pantas untuk menyekat rombongan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Kali ini serangan berlaku menyebabkan Abu Sufyan dan rombongan terpaksa melarikan diri dengan meninggalkan harta yang hendak dibawa berdagang. Harta rampasan telah dibawa balik ke Madinah oleh tentera muslimin.
Kemarahan kafir Quraisy makin bertambah-tambah terhadap Baginda dan kali ini mereka nekad untuk mengumpulkan sebanyak mungkin tentera untuk menyerang Madinah. Maka bermulalah seruan mengajak peyertaan tentera Quraisy serta sumbangan perang untuk persiapan kelengkapan senjata dan kenderaan peperangan.
Bersambung esok, insya Allah
Ust. Sabir