Golongan Munafik Peranan Dalam Peperangan Bani Mustaliq atau Muraisi
Sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, golongan munafiq telah turut serta dalam peperangan dengan Bani Mustaliq yang sebelum ini mereka tidak pernah turut serta peperangan bersama Baginda dan tentera muslimin. Pastinya Abdullah Bin Ubai bapa munafiq tidak akan turut serta melainkan beliau memang mempunyai agenda yang buruk. Para Sahabat sememangnya mengetahui tingkah laku beliau yang sebenarnya mempunyai motif yang tidak baik. Allah menjelaskan dalam al Quran sikap golongan munafiq,
لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
Maksudnya : Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (Taubah 9:47)
Ketika Baginda dan para Sahabat bergerak kembali ke Madinah dan berhenti rehat di tempat adanya air di Muraisi. Berlaku sedikit kekecohan antara orang suruhan Umar al Khattab iaitu Jahjah al Ghifari dengan Sinan Ibnu al Juhani di tempat megambil air sehingga hampir menyebabkan berlakunya pergaduhan. Sinan Ibnu al Juhani telah membangkitkan sentimen perkauman dengan mengatakan, “wahai orang-orang Ansar” manakala Jahjan al Ghafari pula membangkitkan sentimen perkauman juga dengan mengucapkan, “wahai orang-orang Muhajirin.”
Mendengar sahaja dua golongan ini mula membangkitkan hal perkauman maka Baginda bersabda, "apakah kamu rela menyeru dengan seruan jahiliah ini sedang aku masih bersama di kalangan kamu ini? Tinggalkanlah semua seruan itu, ianya suatu yang lapuk dan busuk".
Mendengar sabda Baginda mereka berdua meleraikan pergaduhan dan kembali berdamai. Inilah kehebatan para Sahabat mereka tetap akan segera mentaati Rasul. Dalam kehidupan mereka Allah dan Rasul adalah ikutan dan panduan ketika mereka dipermainkan oleh hasutan syaitan.
Kejadian ini telah sampai ke pengetahuan Abdullah Bin Ubai lalu beliau telah mengambil peluang untuk menanam racun pemusuhan dan perpecahan kepada Ansar dan Muhajirin. Lalu berkatalah Abdullah Bin Ubai,
"Apakah ini boleh mereka lakukan, sudahlah mereka ketepikan kita setelah berasak-asak di negeri kita. Demi Allah kita dan mereka tidak ubah seperti kata orang tua-tua dahulu, “seperti melepas anjing tersepit.” Demi Allah apabila kita pulang ke Madinah nanti, golongan yang mulia akan menghalau keluar golongan hina".
Dan beliau berkata kepada orang di sekelilingnya, "inilah akibat tindakan kamu sendiri yang telah membenarkan mereka memasuki negeri kamu. Kemudian berkongsi harta pula dengan mereka, demi Allah sekiranya di hari ini kamu pegangkan kemakmuran kamu itu nescaya mereka ini akan berpindah ke tempat lain".
Hasutan dan ucapan Abdullah Bin Ubai ini telah didengar oleh seorang anak muda bernama Zaid Bin Arqam. Beliu telah memberitahu kepada bapa saudaranya hasutan Abdullah Bin Ubai dan berita ini disampaikan oleh bapa saudaranya kepada Baginda.
Apakah yang terjadi?
Bersambung esok, insya Allah
Ust. Sabir