Kembali Dari Taif
Bermusafirlah Baginda dengan Zaid kembali ke Mekah. Dalam perjalanan ini mereka telah singgah beberapa hari di satu tempat iaitu Wadi Nakhlah. Ketika Baginda berada di situ Allah telah mengutuskan beberapa jin yang hadir kepada Rasulullah. al Quran menyebut kisah ini,
وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ (29) قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنزلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ (30) يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (31)
Maksudnya : Dan (Ingatlah peristiwa) semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al Quran, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al Quran itu dengan) memberi ingatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (al Quran ) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi memandu kepada kebenaran (tauhid) dan kejalan yang lurus (agama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Ahqaaf 46:29-31)
Manakala dalam surah yang lain pula dijelaskan,
قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا (1) يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَنْ نُشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا (2)
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: 'Sesungguhnya kami telah mendengar al Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadaNya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.(al-Jin 72:1-2)
Rasulullah tidak menyedari pada peringkat awalnya kehadiran jin ini yang telah beberapa kali mendengar bacaan al Quran Baginda melainkan dikhabarkan oleh Allah. Apabila jin ini bedialog dengan Baginda akhirnya mereka menerima Islam dan menyebarkan kepada kelompok jin yang lain. Menurut Ibnu Qayyim jin adalah makhluk yang tidak secerdik manusia. Sebab itu yang menguasai jin hingga mereka terpesong adalah berpunca dari iblis kerana dia lebih cerdik memperdaya jin.
Ketika Baginda berdakwah tidak mendapat sambutan dari penduduk Taif Allah mengembirakan Baginda dengan dakwah kepada golongan jin. Kumpulan jin ini menerima Islam. Sedikit kesedihan Baginda terubat dengan penat lelahnya menuju ke Taif yang tidak menerima sambutan dari penduduk di sana.
Seterusnya perjalanan menuju ke Mekah diteruskan dan Baginda telah berhenti rehat di Gua Hira sebelum masuk ke Kota Mekah terlebih dahulu. Meninjau dan menyusun strategi bagaimana hendak masuk semula ke Mekah tanpa adanya sekatan dan gangguan untuk terus berdakwah di Mekah. Beberapa tindakan telah dilakukan oleh Baginda sebelum masuk ke Mekah.
Insya Allah, Bersambung esok.
Ust. Sabir