Peperangan Uhud Bendera Musuh Tumbang
Dalam peperangan yang menjadi sasaran untuk memastikan kalah dan menang adalah dengan tumbangnya bendera mereka. Hamzah, Ali dan Zubair telah menyusun strategi untuk meluru menyerang pemegang bendera kafir Quraisy. Menjadi kelaziman kafir Quraisy yang bertangunggjawab memegang bendera adalah dari keturunan Bani Abd al Dar.
Ketika itu bendera musuh dipegang oleh Talhah Bin Abi Talhah. Beliau menaiki unta dan membuat cabaran dengan sombongnya terhadap tentera Islam. Zubair melihat tiada yang kehadapan untuk menyahut cabaran Talhah maka beliau terus meluru dan terus membunuh Talhah Bin Abi Talhah sepantas kilat tanpa sempat beliau menangkis serangan Zubair. Bendera musuh tumbang bersama Talhah Bin Abi Talhah. Tentera musuh terkejut dengan apa yang berlaku.
Rasulullah yang melihat ketangkasan Zubair bertakbir lalu berkata, “setiap Nabi itu ada penyokongya dan Zubair adalah penyokongku.”
Bendera musuh segera dipegang pula oleh Abu Syaibah Bin Abi Talhah. Beliau dengan semangatnya untuk mengalahkan tentera Islam telah diterkam oleh Hamzah Bin Abdul Mutalib yang telah bersedia dari awal menyebabkan Abu Syaibah terbunuh dengan pedang Hamzah. Bendera musuh tumbang bagi kali ke 2 dan disambut pula oleh Abu Saad Bin Abi Talhah. Serangan dari Ali Bin Abi Talib menghantar Abu Saad Bin Abi Talhah ke neraka tanpa sempat beliau mempamerkan kesombongannya.
Bendera musuh kali ini disambut oleh Musaf Bin Talhah, namun anak panah Asim Bin Abi al Aflah singgah ke badan Musaf menyebabkan beliau terbunuh. Kilab Bin Talhah segera mengambil bendera musuh tanpa berlengah, Zubair segera membunuhnya dan bendera musuh jatuh lagi. Kali ini Jullas Bin Talhah pula segera mengambil bendera namun Talhah Bin Ubaidullah dari tentera muslimin menikam beliau dan membunuhnya. Ada pendapat yang mengatakan Asim Bin Thabit yang membunuh Jullas Bin Talhah.
Enam orang dari keluarga Abi Talhah terbunuh dalam masa yang singkat kerana mempertahankan bendera mereka. Kini bendera musuh diambil pula oleh Bani Abd al Dar yang lain namun keempat-empat mereka berjaya dibunuh oleh tentera Islam seorang- demi seorang yang cuba menegakkan bendera. Akhirnya tiada lagi yang berani menegakkan bendera mereka. Musuh mula rasa takut lalu mereka cuba menyerang bendera tentera muslimin yang di pegang oleh Mus’ab. Serangan semakin hebat namun tentera musuh tidak dapat masuk menembusi untuk menumbangkan Mus’ab.
Tentera muslimin meluru tanpa berlengah, setiap musuh yang ditemui semuanya tidak ada yang terlepas dari libasan pedang-pedang mereka. Saad Bin Abi Waqas yang sentiasa berada disisi Rasulullah mengunakan panah untuk menyerang musuh. Baginda mendoakan setiap panahan Saad mengena sasaran dan sememangnya itulah yang berlaku tiada ada satu pun anak-anak panah Saad yang tersasar. Setiap panahan beliau pasti mengena musuh sama ada mereka terbunuh atau cedera.
Hamzah Bin Abdul Mutalib seperti singa yang terlepas dari ikatan sudah tidak dapat dikawal dan menyerang tanpa belas kasihan. Tetakan dan hanyunan pedangnya pasti memisahkan anggota dari badan.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir