Israk dan Mikraj (samb)
Kafir Quraisy mempersoal kepercayaan Abu Bakar, bagaimana beliau boleh menerima peristiwa perjalanan Baginda ke Baitul Maqdis dan kembali dalam masa tidak sampai satu malam. Abu Bakar pula sedia maklum perjalanan biasa ke Baitul Maqdis mengambila masa 1 bulan. Abu Bakar mengatakan beliau boleh mempercayai wahyu yang turun dari langit yang menjawab persoalan manusia dalam sekelip mata sahaja mengapa pula beliau tidak boleh percaya perjalanan Baginda.
Mereka gagal mendapat sokongan Abu Bakar untuk menafikan kebenaran ekplorasi peristiwa Israk dan Mikraj oleh Baginda. Kemudiannya mereka bertanya jika benar Baginda pernah ke Baitul Maqdis sila gambarkan strukturnya. Sedangkan mereka memang mengetahui Baginda sepanjang tinggal di Mekah tidak pernah sampai ke Baitul Maqdis Palestin.
Allah memberikan ilham kepada Baginda melihat struktur Masjidil Aqsa dan diceritakan oleh Baginda dengan terperinci. Walaupun semuanya diceritakan itu benar, namun mereka tetap tidak mahu menerimanya. Itulah kesesatan kafir Quraisy yang tetap hidup dalam kebatilan dan menolak kebenaran walaupun didatangkan bukti yang mereka pinta.
Seterusnya bagi memberi keyakinan kebenaran peristiwa Israk dan Mikraj ini Baginda menerangkan akan datang satu rombongan kabilah ke Mekah tidak berapa lama lagi. Baginda telah memintas rombongan ini ketika kembali ke Mekah menaiki buraq. Dikhabarkan oleh Baginda tentang ciri-ciri kabilah ini dan peristiwa unta mereka yang hilang dan bersembunyi. Kafir Quraisy apabila mendengar cerita ini maka mereka mengambil keputusan untuk menunggu dan melihat sendiri adakah benar apa yang dikatakan oleh Baginda.
Tidak lama selepas itu tibalah kabilah ini dan kafir Quraisy melihat ciri-ciri yang disebutkan oleh Baginda terdapat pada kabilah ini. Lalu mereka bertanya kepada kabilah ini tentang kebenaran unta mereka yang hilang dan bersembunyi. Maka kabilah ini menjawab,
“Ya, benar kami kehilangan unta tetapi kami mendengar suara dari langit yang memberitahu di mana unta ini bersembunyi.”
Kabilah ini merasay hairan bagaimana pula soalan tentang unta yang hilang ditanya oleh kafir Quraisy sedangkan mereka baru sahaja sampai dan tiada siapa yang sepatutnya tahu tentang apa yang terjadi kepada mereka dan berita tersebut belum tersebar. Segala bukti tentang kebenaran ini tetap ditolak oleh kafir Quraisy. Apakah lagi bukti yang mereka kehendaki? Hakikatnya memang mereka adalah orang yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitulah sifat orang yang sentiasa dalam kekufuran.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir