Sampai masanya Hisham bin Amru, Zuhair bin Abu Umayyah, Al Mut’im bin Adi, Abi Al Bukhturi bin Hisham, Zam’ah bin Al Usud melaksanakan apa yang telah mereka persetujui bersama. Maka keesokan harinya kelima-lima mereka menuju ke Masjidil Haram. Zuhair melakukan tawaf sehingga selesai 7 pusingan dengan memakai pakaian yang indah lagi terbaik. Lantas setelah selesai tawaf beliau menuju ke arah kumpulan manusia yang berada di situ. Kemudian Zuhair berkata dengan suara yang kuat,
“Wahai penduduk Mekah, adakah kita rela makan makanan dan memakai pakaian sedangkan Bani Hashim menderita tanpa makanan dan pakaian. Demi Allah, aku tidak boleh biarkan perkara ini selagi surat perjanjian yang kejam itu tidak dikoyak.”
Apabila Zuhair mengungkap begitu maka Abu Jahal bingkas bangun dan berkata,
“Penipu! Tidak sama sekali. Demi Allah kamu tidak sesekali akan melanggar perjanjian itu. Surat itu tidak boleh dikoyakkan.”
Belum sempat Abu Jahal meneruskan bantahannya tiba-tiba bangun pula Zam’ah bin Al Usud dan berkata,
“Demi Allah, kamulah yang lebih penipu. Kami tidak pernah merestui perbuatan kamu menulis surat perjanjian itu dari mula lagi.”
Abu Jahal cuba untuk menjawab mempertahankan hujahnya tetapi bangun pula Abi Al Bukhturi memintas Abu Jahal,
“Benar apa yang disebut oleh Zam’ah. Kami tidak pernah merestui dan kami tidak pernah setuju dengan perjanjian itu.”
Abu Jahal terperanjat dan tidak menyangka apa yang telah berlaku di hadapannya. Belum sempat dia memikirkan helah barunya bangun pula Al Mut’im bin Adi pula menyatakan,
“Ya, benar apa yang kamu berdua perkatakan. Siapa kata sebaliknya, dia adalah seorang yang menipu. Kami berlepas diri kepada Allah dari apa yang ditulis dalam perjanjian itu.”
Seterusnya Hisyam pun berkata pula, sama seperti yang dibicarakan oleh sahabat -sahabatnya yang lain.
Kenyataan-kenyataan mereka telah membuatkan Abu Jahal menjadi marah dan berkata,
“Ini pastinya perancangan jahat yang telah kamu aturkan sejak semalam dan kamu tidak berpakat di sini.”
Segala yang berlaku di hadapan Kaabah ini disaksikan oleh Abu Talib yang turut berada dalam Masjidil Haram ketika itu. Kemudian beliau terus menuju kepada mereka dan berkata,
“Wahai manusia. Aku datang ke sini untuk melihat adakah benar apa yang dikhabarkan oleh anak saudaraku Muhammad. Dia berkata, Allah telah memberitahu bahawa Dia telah mengutuskan anai-anai untuk menggigit dan memusnahkan surat perjanjian kamu. Aku datang untuk melihat adakah ia benar. Jika tidak benar, maka anak saudaraku adalah pembohong dan aku tidak bertanggungjawab lagi ke atasnya apa yang kamu mahu lakukan. Tetapi jika benar, maka hendaklah kamu membatalkan pemulauan dan kezaliman ini.”
Apabila mereka mendengar kata-kata Abu Talib, mereka serentak berkata,
“Itulah yang seadil-adilnya.”
Dengan kata-kata itu, Al Mut’im segera memanjat dinding Kaabah untuk mengoyak surat perjanjian itu. Tiba-tiba dia mendapati keseluruhan surat itu sudah dimakan anai-anai kecuali ruang yang bertulis, “Dengan nama Allah...” (باسمك اللهم)
Dengan peristiwa itu berakhirlah pemulauan yang telah berlanjutan selama 3 tahun.. Rasulullah dan umat Islam keluar beramai-ramai ke Kota Makkah untuk berurusan seperti sediakala. Ianya adalah merupakan hari yang penuh bersejarah. Bulan Muharram tahun ke-10 yang menyaksikan orang-orang kafir melihat sendiri mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasulullah. Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka melalui perbalahan dikalangan pemimpin Quraisy di sendiri.
Walaupan bukti surat perjanjian itu musnah sebagaimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah, namun yang kufur terus tetap dalam kekufuran mereka. Keajaiaban mukjizat hanya dianggap sebagai sihir. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sebagaimana dijelaskan al Quran,
وَإِنْ يَرَوْا آيَةً يُعْرِضُوا وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُسْتَمِرٌّ
Maksudnya : Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata: "(Ini adalah) sihir yang terus menerus". (al-Qamar 54: 2)
Rasulullah terus melaksanakan tugas dakwah seperti biasa. Kafir Quraisy tetap masih tidak berpuas hati atas apa yang berlaku. Belum berakhir rancangan jahat mereka. Apa pula yang berlaku? Sabar untuk kisah selanjutnya....
Bersambung esok. Insya Allah
Ustaz Sabir