Perang Badar & Para Tawanan (samb)
Berita sahih tentang kekalahan tentera musyrikin Quraisy telah dibawa oleh Haisuman Al Khuza’i ke Mekah. Masyarakat Mekah terperanjat besar apabila diberitahu bahawa Abu Jahal, Utbah dan Walid telah terbunuh. Suatu yang menghairankan bagaimana panglima hebat dari Quraisy tewas menjadi bualan penduduk Mekah. Namun berita Haisuman Al Khuzai diyakini benar apabila tentera musyrikin yang lari dari pertempuran Badar tiba di Mekah.
Abu Sufyan yang merasa marah dan geram telah memberi arahan agar tidak ada siapa menangisi, meratapi kemataian ahli keluarga mereka dan tidak dibenarkan sesiapa pun menebus para tawanan perang. Pada masa yang sama Abu Lahab bertemu dengan Ummu Al Fadl iaitu isteri Abbas Bin Abdul Mutalib untuk mengetahui sama ada beliau ada mendengar berita tentang Abbas yang telah ditawan. Ketika Abu Lahab tiba beliau mendapati seorang tentera musyrikin yang lari dari Badar sedang menceritakan kepada Ummu Al Fadl apa yang telah berlaku di Badar.
Abu Lahab telah bertanya kepadanya siapakah yang paling menyerlah di perang Badar dari kalangan tentera Islam. Beliau berkata orang tersebut adalah Hamzah Bin Abdul Mutalib. Kemudian Abu Lahab bertanya lagi “bagaimana kamu boleh kalah dalam keadaan jumlah tentera yang sangat ramai.”
Beliau berkata, “kami melihat tentera-tentera yang berpakaian putih datang dan tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatasi mereka.”
Seorang hamba yang telah dibebaskan oleh Abbas bernama Abu Rifai yang berada di situ mendengar kisah ini lantas berkata, “demi Allah itulah para Malaikat.” Beliau telah masuk Islam dan menyembunyikan keislamannya.
Abu Lahab menjadi marah mendengar perkataan Abu Rifai lantas memukulnya sehingga berdarah. Ummu Al Fadl cuba menghalangnya dari terus memukulnya namun tapi tidak berjaya. Kemudian Ummu Al Fadl telah mengambil sebatang kayu dan memukul kepala Abu Lahab sehingga luka. Abu Lahab balik ke rumah dengan luka di kepala. Luka di kepala Abu Lahab menjadi semakin teruk dan melarat seperti penyakit kulit. Hinggakan penyakit itu memberi kesan buruk padanya. Ramai yang melarikan diri dari Abu Lahab khuatir mereka akan menjangkiti penyakit itu.
Kesan peyakit itu anak-anaknya meninggalkannya sehinggalah Abu Lahab mati dengan penyakit itu. Mayatnya tinggal keseorangan tiada yang mahu menguruskannya sehingga menjadi busuk. Akhirnya mereka menyembur air dari jauh dan menimbus mayatnya dengan batu-batu.
Begitulah kesudahan riwayat Abu Lahab yang paling keras menentang dakwah Baginda. Beliau sentiasa menyakiti, mengaibkan, menghina Rasulullah s.a.w dan menzalimi para Sahabat yang memeluk Islam. Janji Allah pasti benar tiada yang terlepas dari siksaan Allah. Bahkan sudah ada yang menerima sedikit balasan di dunia lagi. Di Akhirat pula neraka yang kekal abadi menanti para musuh-musuh Allah.
Manakala keluarga dikalangan penduduk Mekah yang ditawan sudah tidak dapat menahan diri lagi untuk menebus ahli keluarga mereka yang ditawan di Madinah. Apakah yang mereka lakukan?
Insya Allah. Bersambung esok.
Ust. Sabir