Rasulullah s.a.w dan Sahabat Kembali ke Madinah
Setelah selesai rombongan kaum muslimin bercukur dan bergunting rambut (bertahalul) serta menyembelih unta maka tidak lama selepas itu mereka semuanya berangkat kembali ke Madinah. Keadaan di Madinah dalam keadaan aman tiada lagi serangan-serangan musuh setelah perjanjian Hudaibiyah dipersetujui. Baru sahaja mereka mengecapi keamanan tiba-tiba masyarakat Madinah dikejutkan dengan satu peristiwa iaitu seorang Sahabat dari Mekah bernama Abu Basir dari Bani Thaqif yang disiksa di Mekah berjaya melepaskan diri dan memohon perlindungan Baginda di Madinah.
Manakala pihak Quraisy pula telah mengirimkan dua orang wakilnya untuk menemui Baginda dan meminta dikembalikan Abu Basir kepada mereka. Wakil Quraisy yang datang bertemu Baginda berkata,
"Kami datang kerana menuntut dikembalikan Abu Basir sesuai dengan perjanjian yang kami persetujui itu.”
Baginda tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mematuhi isi perjanjian Hudaibiyah yang menyebut mana-mana orang Mekah yang lari ke Madinah hendaklah dikembalikan ke Mekah. Maka Baginda menyerahkan Abu Basir kepada wakil Quraisy. Abu Basir merasa sedih kerana beliau lari dari siksaan kaum Quraisy demi menjaga akidahnya namun kini Baginda terpaksa mengembalikan beliau kepada musuh yang pasti akan menyiksanya dengan lebih teruk.
Baginda menasihati Abu Basir agar bersabar dan menyakinkan beliau pasti nanti akan datangnya pertolongan Allah. Abu Basir dibawa pergi sebagaimana Jandal Bin Suhail yang dibawa pergi oleh ayahnya dihadapan Baginda dan para Sahabat. Tiada ungkapan yang mampu diucapkan sekadar berdoa agar Abu Basir tabah dan sabar. Hanya kepada Allah jualah kaum muslimin berdoa untuk Abu Basir.
Dalam perjalanan membawa Abu Basir ke Mekah, ketika sampai di satu tempat bernama Zuhulaifah wakil Quraisy telah berhenti untuk berehat. Abu Basir cuba mencari helah untuk melepaskan diri. Lalu beliau berkata kepada seorag wakil Quraisy, “aku melihat pedang kamu sangat istimewa.”
Mendengar pujian Abu Basir terhadap pedangnya maka wakil Quraisy ini pun bangga dan segera mengeluarkan pedangnya dari sarungnya lalu menghunusnya serta berkata, “memang benar, demi Allah ianya adalah istimewa dan aku telah menggunakannya beberapa kali.”
Kemudian berkata Abu Basir, “boleh aku lihat pedang itu?” Wakil Quraisy itu pun memberikan pedang tersebut kepada Abu Basir. Apabila pedang itu berada di tangan Abu Basir lantas dia memanfaatkan dengan segera membunuh wakil Quraisy tersebut.
Seorang lagi wakil Quraisy yang ada bersama terkejut melihat kawannya dibunuh di tangan Abu Basir dan pedang yang terhunus pula masih ditangan Abu Basir. Maka tanpa berlengah lagi beliau segera melarikan diri dengan dikejar oleh Abu Basir hingga sampai ke Madinah. Wakil Quraisy ini lari masuk ke dalam masjid. Rasulullah s.a.w melihat lelaki yang melarikan diri ini adalah wakil Quraisy yang datang bertemu Baginda sebelum ini. Berkata Baginda orang ini dalam ketakutan yang amat sangat.
Apabila tiba di hadapan Baginda berkata wakil Quraisy ini, “kawanku telah dibunuh dan aku juga hampir-hampir dibunuh.” Tidak lama kemudian Abu Basir pun tiba dengan pedang ditangannya. Melihat kedatangan semula Abu Basir dalam keadaan demikian ianya menandakan satu perkara buruk telah berlaku. Keadaan aman di Madinah sebelum ini sudah mula tercalar. Apakah yang terjadi seterusnya? Bagaimana pula Baginda menangani isu ini. Pihak Quraisy pasti tidak akan berdiam diri...
Sambung esok ya. Insya Allah
Ust. Sabir