Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Pihak Quraisy telah menghantar wakilnya iaitu Suhail bin Amru untuk berunding dengan Rasulullah s.a.w. Apabila melihat Suhail Bin Amru, lalu Baginda berkata, “Allah mempermudahkan urusan kamu.”
Suhail bin Amru adalah pemimpin Bani Amir, beliau juga dikenali dengan panggilan Abu Yazid. Beliau adalah seorang yang mempunyai kemuliaan dan kedudukan tinggi di kalangan kaum Quraisy. Pernah ditawan dalam perang Badar dan dibebaskan dengan bayaran tebusan. Ada riwayat yang mengatakan Umar Al Khattab pernah berkata untuk mencabut gigi Suhail Bin Amru semasa ditawan agar beliau tidak lagi membuat fitnah. Namun Baginda menegahnya dan berkata “mungkin satu hari nanti giginya akan membuat kamu senang.”
Seterusnya Baginda berkata, marilah ditulis ketetapan antara kamu dan kami.” Lalu Baginda memangil Ali untuk menuliskan isi perjanjian antara kaum muslimin dengan Quraisy. Berkata Baginda, “tulislah Bismillahirrahmanirrahim.”
Pantas berkata Suhail, “adapun Ar-Rahman, demi Allah aku tidak tahu apa ini, tetapi tulislah ‘Bismikallahumma’ sebagaimana biasa yang kami tulis.”
Mendengar kata-kata Suhail maka rombongan muslimin membantah, “jangan ditulis kecuali Bismillahirrahmanirrahim.”
Namun Baginda berkata, “tulislah ‘Bismikallahumma,” kemudian Baginda menambahkan, “inilah yang disepakati oleh Muhammad Rasul Allah.”
Namun sekali lagi Suhail menolak, “demi Allah, kalau kami tahu engkau adalah Rasul Allah tentulah kami tidak menghalangi kamu dari Baitullah dan tidak pula memerangimu. Lalu berkata Suhail, “tulislah Muhammad bin ‘Abdullah.”
Mendengar kata Suhail Baginda berkata, “demi Allah, sungguh aku adalah Rasul Allah walaupun kamu mendustakanku, tulislah Muhammad bin Abdullah.”
Seterusnya Baginda berkata, “iaitu agar kamu membiarkan kami tawaf di Kaabah.”
Sekali lagi Suhail segera menolak, “demi Allah, (kalau demikian) tentulah orang-orang Arab akan mengatakan kami ditekan (kalah). (Tidak), tapi tahun depan.” Lalu keputusan ini dituliskan.
Maka berkata Suhail pula, “tidak ada yang datang kepadamu seorang lelaki dari kami meskipun dia sama iman denganmu melainkan mesti dikembalikan kepada kami.”
Kali ini rombongan muslimin amat tidak puas hati dan berkata, “Maha Suci Allah, bagaimana mungkin dia dikembalikan kepada kaum musyrikin padahal dia datang sebagai muslim.”
Melihat keadaan ini Baginda berkata, “sesiapa yang datang dari pihak mereka hendaklah kita pulangkan kepada mereka manakala yang datang dari pihak kita kepada mereka tidak akan dikembalikan kepada kita. Kemudian berkata Baginda, “semoga Allah berikan kepadanya jalan keluar dan kelapangan.”
Secara ringkas perjanjian yang telah dipersetujui adalah seperti berikut:
1. Tidak berlaku peperangan antara kaum muslimin dan penduduk Quraisy selama 10 tahun sehingga semua orang merasa aman.
2. Tahun ini rombongan muslimin tidak boleh memasuki Mekah untuk ibadah umrah tetapi hanya dibenarkan pada tahun hadapan. Rombongan umrah pada tahun hadapan mesti tidak membawa senjata kecuali pedang yang bersarung. Mereka hanya boleh berada di Mekah tidak melebihi 3 hari.
3. Sesiapa sahaja yang datang ke Madinah dari penduduk Mekah mesti dikembalikan ke Mekah. Manakala sesiapa yang datang ke Mekah dari penduduk Madinah (muslim) tidak boleh dikembalikan ke Madinah.
4. Kabilah yang lain berhak menjadi sekutu Baginda atau Quraisy.
5. Kesepakatan ini disetujui kedua belah pihak dan tidak boleh ada pengkhianatan serta perlanggaran.
Perjanjian ini sangat berat sebelah dan rombongan kaum musimin amat tidak selesa serta tidak berpuas hati. Bagaimana Baginda mengatasi masalah ini?
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir