Perang Badar & Ketua Musyrikin Terbunuh
Tanda-tanda kekalahan tentera musyrikin semakin jelas kelihatan. Ramai di kalangan mereka yang sudah lari meninggalkan medan tempur. Antara yang turut serta melarikan diri adalah Ibis yang menyamar sebagai Suraqah Bin Malik. Iblis telah melihat tentera dari kalangan Malaikat bersama dengan tentera muslimin bertempur dengan tentera musyrikin. Harith Bin Hisham melihat Iblis yang hendal lari maka dipegangnya tangan beliau. Berkata Harith, “ ke mana kamu mahu pergi wahai Suraqah (iblis yang menyamar) bukankah kamu berkata akan membantu kami dan tidak akan meninggalkan kami?
Iblis menjawab, “sebenarnya aku melihat sesuatu yang kamu tidak melihatnya, aku takut siksaan Allah yang amat pedih itu.” Beliau menolak Harith dan melarikan diri.
Abu Jahal, melihat bala tenteranya ramai yang mati dan melarikan diri namun beliau tetap berdegil untuk tidak berhenti dari memerangi umat Islam. Laungan seruan perang Abu Jahal sudah tidak mendapat sambutan lagi. Musuh-musuh Islam tidak berupaya dan bersemangat lagi setelah melihat mayat panglima-panglima Quraisy terbujur kaku dengan kesan kematian yang dahsyat.
Menurut kitab sirah Ar Reheeq Makhtum, pada waktu itu Abdul Rahman Bin Auf memerhatikan musuh-musuh di medan Badar. Kemudian berkatalah beliau,"sesungguhnya aku berada di saf peperangan Badar, bila aku memerhatikan di hadapan, aku dapati di kiri dan di kananku dua orang belia masih muda, aku bagaikan tidak berasa selamat terhadap diri mereka. Salah seorang dari mereka bertanyakan padaku dan meminta merahsiakan penyataannya itu dari kawannya yang seorang lagi, katanya: "Pak Cik tunjukkan saya satukah Abu Jahal.",
Jawabku, "anakku, apa yang kamu hendak buat dengannya?"
Berkata beliau, “saya mendapat tahu yang beliau selalu memaki Rasulullah s.a.w.”
Lalu tambahnya lagi, "demi Tuhan yang nyawa ku di tanganNya, kalaulah aku ternampaknya (Abu Jahal) nescaya diri ku tidak akan renggang dari dirinya, kecuali kematian sahaja yang akan meragut mana-mana satu yang lebih segera ajalnya.
Kata Abdul Rahman aku merasa hairan dengan sikapnya itu. Sekali lagi aku dipandang pula oleh pemuda yang seorang lagi dengan isyarat sambil beliau berkata kepadaku seperti pemuda yang pertama juga, aku pun terus memandang-mandang ke arah Abu Jahal yang terkial-kial di tengah-tengah orang ramai. Kemudian aku berkata kepada mereka berdua, "kamu nampak tak? Itu dia orang yang kamu bertanyakan tadi.”
Kedua-dua mereka pun dengan segera meluru dengan pedang ke arah Abu Jahal dan segera membunuhnya. Kemudian mereka terus pergi menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan kepada Baginda, lantas Rasulullah s.a.w pun bertanya: "Siapa di antara kamu yang membunuhnya? Jawab mereka berdua, "saya Rasulullah".
Lalu bertanya Baginda, "apakah kamu sudah mengesat pedang kamu?"
Jawab mereka: "Tidak.”
Rasulullah pun melihat kepada kedua-dua pedang mereka lalu bersabda Rasulullah s.a.w, "ya kedua-dua kamulah yang membunuhnya".
Terbunuhnya Abu Jahal menyebabkan lumpuhlah tentera-tentera musyrikin. Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera muslimin memenangi perang Badar ini.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir