CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 120)
Bani Huzail al-Huzaili Merancang Menyerang Madinah.
Pada bulan Muharam tahun ke 4 Hijrah Bani Huzail al Huzaili yang diketuai oleh Khalid Bin Sufyan al-Huzaili yang tinggal tidak jauh dari Mekah telah membuat rancangan untuk menyerang Madinah. Beliau mengumpul kekuatan tentera dan membuat persiapan untuk berperang. Berita ini telah sampai kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda menyusun segera strategi untuk menghadapi Khalid Bin Sufyan.
Tokoh pahlawan yang dipilih oleh Baginda untuk menghadapi Khalid Bin Sufyan adalah seorang yang cerdik dan gagah iaitu Abdullah Bin Unais. Baginda mengarahkan beliau untuk membunuh Khalid Bin Sufyan. Abdullah Bin Unais tidak mengenali Khalid Bin Sufyan, lalu beliau bertanya kepada Baginda, “wahai Rasulullah aku tidak mengenali Khalid Bin Sufyan.”
Baginda menjawab, “jika kamu melihatnya hati kamu akan merasa takut.”
Abdullah Bin Unais merasa sedikit kehairanan kerana beliau sebelum ini tidak pernah takut kepada sesiapa pun. Namun Abdullah Bin Unais segera menjalankan perintah Baginda dengan keluar berjalan kaki tanpa membawa senjata seorang diri bagi menyamar dan seterusnya melaksanakan misinya. Perjalanan beliau mengambil masa 18 malam untuk tiba di perkampungan Bani Huzail.
Abdullah Bin Unais melihat seorang lelaki yang dikelilingi wanita dan pengawal. Tiba-tiba hatinya merasa takut melihat Khalid Bin Sufyan. Tanda yang disebut oleh Baginda dirasai oleh Abdullah Bin Unais. Waktu asar sudah masuk ketika itu dan Abdulah Bin Unais tidak boleh solat dalam keadaan biasa kerana akan disyaki beliau orang Baginda, lalu beliau solat asar dalam keadaan seperti dalam peperangan sambil berjalan dan menggunakan isyarat. Perasaan takutnya hilang setelah selesai menunaikan solat.
Abdullah Bin Unais menghampiri Khalid Bin Sufyan dan bertanya benarkah beliau mahu menyerang Madinah. Khalid Bin Sufyan menjawab “ya memang benar.” Maka berkata Abdullah Bin Unais, “kalau begitu aku akan bersama kamu.”
Abdullah Bin Unais seorang yang pintar beliau telah berbual dengan gaya bahasa yang disukai oleh Khalid Bin Sufyan diselang seli dengan syair yang hebat. Hinggakan mereka yang berada dikeliling Khalid Bin Sufyan menyangka Abdullah Bin Unais adalah rakan karib beliau. Maka lama-kelamaan para wanita dan pengawal beliau meninggalkan Khalid bin Sufyan tanpa pengawasan.
Abdullah Bin Unais bersama Khalid Bin Sufyan hingga lewat malam kemudian beliau mengambil peluang membunuhnya dan membawa lari kepalanya. Wanita-wanita yang berada disekelilingnya terkejut dan menangis manakala Abdullah Bin Unais melarikan diri pada waktu malam. Beliau telah diburu oleh penduduk Bani Huzail namun mereka tidak menjumpainya. Pada malam hari Abdullah Bin Unais bergerak menuju ke Madinah dengan berjalan kaki manakala pada waktu siang beliau bersembunyi.
Akhirnya Abdullah Bin Unais tiba di Madinah ketika Baginda berada di masjid. Melihat wajah Abdullah Bin Unais berkatalah Baginda, “Tahniah, kamu sudah berjaya wahai Abdullah.”
Jawab Abdullah, “bahkan kamu yang berjaya wahai Rasulullah.” Maksudnya dengan mukjizat Bagindalah beliau mengenali dan berjaya melaksanakan perintah Baginda.
Abdullah Bin Unais membawa pulang kepala Khalid Bin Sufyan ke hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian Baginda menghadiahkan tongkatnya kepada Abdullah, dengan bersabda,“inilah tanda hubunganku dengan kamu hingga ke hari Kiamat.”
Diriwayatkan, semasa Abdullah menemui ajalnya beliau telah berpesan agar tongkat itu dikafankan bersama jenazahnya. Kematian Khalid Bin Sufyan menyebabkan Bani Huzail tidak berani untuk menyerang umat Islam Madinah. Mereka merasa pelik bagaimana umat Islam tahu dan boleh datang membunuh ketua mereka di perkampungan mereka tanpa mereka boleh membuat sesuatu.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir