Rasulullah s.a.w mempunyai puteri yang bernama Umi Kaltum iaitu anak ketiga dari Khadijah binti Khuwailid. Beliau lahir di Mekah pada tahun ke 19 sebelum hijrah. Umi Kalthum telah berkahwin dengan Utaibah bin Abu Lahab dan kakaknya Ruqayah pula berkahwin dengan Utbah bin Abu Lahab. Namun kedua-dua puteri Rasulullah s.a.w telah diceraikan oleh suami mereka atas arahan Abu Lahab kerana tidak menerima dan menentang Rasulullah s.a.w.
Ruqayah telah dinikahkan dengan Usman bin Affan setelah perceraian, manakala Umi Kalthum terus tidak berkahwin dan tinggal bersama Rasulullah s.a.w serta ikut berhijrah ke Madinah. Beliau banyak melihat susur galur dakwah Baginda dari awal Islam hinggalah terdirinya sebuah negara di Madinah.
Setelah Ruqayah binti Muhammad meninggal dunia, Baginda menikahkan beliau dengan Uthman bin Affan sebagaimana sabda Baginda:
“Malaikat Jibril datang padaku dan berkata, “Allah memerintahmu untuk menikahkan Uthman dengan Umi Kalthum dengan maharnya sama dengan maharnya Ruqayah.”
Dengan perkahwinan ini Uthman bin Affan dikenali dengan zun nurain iaitu dua cahaya kerana berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah s.a.w. Kehidupan mereka aman dan bahagia namun tidak lama iaitu dalam enam tahun sahaja.
Pada bulan Syaban tahun ke 9 Hijrah Umi Kalthum meninggal dunia tanpa meninggalkan zuriat. Jasadnya dimandikan oleh Asma’ bintu ‘Umais dan Shafiyah bintu Abdil Mutalib.
Baginda menyembahyangkan jenazah puteri kesayangannya dengan linangan air mata kesedihan. Sungguh ianya satu perpisahan yang memberi kesan besar kepada Baginda yang telah menyembahyangkan jenazah isterinya Khadijah binti Khuwailid dan anak-anknya Ruqayah serta Umi Kalthum.
Setibanya jenazah di perkuburan Baqi di Madinah, dalam keadaan sedih dan berlinangan air mata Baginda bertanya,
“Adakah seseorang yang tidak mengauli isterinya semalam?”
Abu Talhah menjawab, “Saya.”
Kemudian berkata Baginda, “Turunlah kamu!”
Abu Talhah turun ke dalam liang dan memasukkan jenazah Umi Kalthum untuk dikuburkan dengan dibantu oleh Ali bin Abi Talib, Fadhl bin Abbas dan Usamah bin Zaid.
Ibnu Asakir meriwayatkan dari Ali bin Abi Talib dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkata kepada Uthman: “Sekiranya saya memiliki empat puluh orang anak, maka akan saya nikahkan dia denganmu satu demi satu hingga tidak ada yang tersisa satu pun di antara mereka.”
Umu Kalthum dan Ruqayah dua beradik yang perjalanan hidup mereka hampir sama. Mereka berdua adalah dari zuriat bapa dan ibu yang sama, suami mereka yang pertama adalah dua beradik yang namanya mempunyai makna yang sama Utbah dan Utaibah, mempunyai mertua yang sama, masuk Islam pada hari yang sama, bercerai pada hari yang sama dan setelah itu mereka mempunyai suami yang sama pula.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir