Tindakan kafir Quraisy membantu Bani Bakar membunuh orang-orang Bani Khuzaah adalah satu tindakan yang mengundang masalah besar dengan Madinah. Penjanjian Hudaibiyah yang pada awalnya dirangka dengan berat sebelah ini telah dirungkai pula oleh mereka. Kini tindakan mereka menyebabkan ketakutan menyelubungi pimpinan kafir Quraisy. Ianya seolah-olah membuka pintu peperangan dengan Madinah. Menjadi satu adat masyarakat Arab yang melanggar perjanjian adalah kesalahan yang besar.
Pimpinan Quraisy menyedari masalah pasti akan menyusul dari tindakan mereka. Baginda pasti tidak akan berdiam diri dengan tindakan kafir Quraisy yang membantu pembunuhan orang-orang Bani Khuzaah yang mengadakan kerjasama dengan Madinah. Tindakan segera telah diambil oleh pemimpin kafir Quraisy dengan bermesyuarat. Keputusannya adalah mengirimkan Abu Sufian untuk bertemu Baginda di Madinah untuk memperbaharui perjanjian damai.
Sebelum Abu Sufian tiba di Madinah, Budail bin Warqa’ dan Amru bin Salim telah meninggalkan kota Madinah dan mereka cuba mengelak untuk berselisih dengan Abu Sufian yang dalam perjalanan ke Madinah. Namun mereka terserempak juga dengan Abu Sufian. Mereka telah ditanya oleh Abu Sufian adakah mereka datang dari Madinah tetapi telah dinafikan oleh Budail bin Warqa. Abu Sufian mengesyaki sesuatu lalu dia telah mengarahkan pasukannya menyelusuri jalan yang dilalui oleh rombongan Budail bin Warqa’. Beliau telah menemui biji kurma Madinah dalam najis unta rombongan Budail bin Warqa’. Maka tahulah beliau bahawa Baginda sudah mendapat berita dari Bani Khuzaah apa yang telah berlaku. Ini menyebabkan Abu Sufian menjadi risau.
Setibanya di Madinah Abu Sufian memikirkan siapa yang boleh membantunya untuk membawa beliau menghadap Baginda. Malah Baginda pula sudah mengetahui wakil Quraisy pasti akan datang untuk urusan perdamaian akibat pelanggaran perjanjian. Baginda juga telah maklumkan kepada para Sahabat tentang kedatangan wakil pimpinan Quraisy ke Madinah nanti. Abu Sufian semakin resah sekiranya tiba di Madinah beliau gagal bertemu Baginda maka Kota Mekah akan manghadapi peperangan yang sangat sukar. Malah kabilah-kabilah lain pasti tidak akan bersama membantu kafir Quraisy menghadapi tentera Madinah akibat sikap kafir Quraisy yang melanggar perjanjian yang mereka sendiri rangka dan persetujui bersama dengan Baginda.
Apakah yang dilakukan oleh Abu Sufian sebagai wakil kafir Quraisy? Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir