Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Ketika para sahabat sukar menerima isi perjanjian antara kaum muslimin dan Quraisy tiba-tiba mereka mendengar satu laungan suara seorang lelaki yang meluru ke khemah kaum muslimin. Mereka perhatikan terdapat rantai yang masih ditangan lelaki ini. Lelaki tersebut adalah Jandal Bin Suhail, iaitu anak lelaki kepada Suhail Bin Amru yang baru sahaja hendak memuktamadkan perjanjian dengan Rasulullah s.a.w.
Suhail Bin Amru mempunyai dua anak lelaki seorang bernama Abdullah Bin Suhail dan seorang lagi Jandal Bin Suhail. Kedua-dua anak lelaki kesayangannya memeluk Islam. Suhail Bin Amru sangat tidak gembira sehingga dia mengurung mereka. Abdullah Bin Suhail yang berani telah mengistiharkan keislamannya sewaktu awal-awal Islam dan beliau telah dihalau oleh bapanya. Beliau pernah berhijrah ke Habsyah dan kembali ke Mekah telah diperdaya dan dikurung oleh bapanya. Apabila Jandal Bin Suhail melihat abangnya diperlaku demikian dia pun menyatakan keislamannya yang selama ini disembunyikan. Akibatnya mereka berdua dikurung dan dirantai. Abdullah Bin Suhail akhirnya berpura-pura mentaatinya bapanya dan turut serta dalam peperangan bersama Quraisy iaitu pertempuran Badar. Namun bila melihat tentera Islam beliau segera bergabung bersama mereka dan meninggalkan Quraisy.
Jandal Bin Suhail yang selama ini tidak dapat bersama kaum muslimin di Madinah telah berjaya melepaskan diri dari kurungannya dan beliau tidak mengetahui perbincangan apa yang berlaku diantara Baginda dan bapanya. Berkata Jandal Bin Suhail kepada Rasulullah s.a.w, “aku datang kepada kamu untuk berhijrah, aku ingin ikut kamu ke Madinah.”
Suhail Bin Amru yang turut berada di situ berkata kepada Baginda, “wahai Muhammad sudah ada perjanjian antara kita kembalikan anak aku ke Mekah.”
Para Sahabat tidak bersetuju untuk mengembalikan Jandal Bin Suhail kepada kaum musyrikin kerana dia sudah muslim dan wajar mendapat perlindungan. Umar al Khattab antara yang paling tidak bersetuju. Maka terjadilah sedikit perdebatan antara mereka.
Umar al Khattab berkata, “kandungan perjanjian masih belum ditulis sepenuhnya.”
Suhail Bin Amru berkata, “tidak cukupkah perjanjian lisan dengan kamu?”
Bagi meredakan ketegangan ini Baginda berkata, “ya memadai perjanjian dengan lisan dengan kami, bawalah anak kamu.”
Jandal Bin Suhail yang tidak mengerti apa yang berlaku berkata dengan sedihnya, “wahai kaum muslimin apakah kamu mahu aku diseret kembali ke dalam masyarakat musyrikin untuk difitnahkan ke atas agamaku?"
Baginda berkata kepada Jandal Bin Suhail, "bersabarlah dan bertahanlah wahai Abu Jandal, sesungguhnya Allah sedang memberi ganjaran kepada kamu dan sahabat-sahabat kamu yang lain dari kalangan musthadfin jalan keluar dan kelepasannya.”
Jandal Bin Suhail masih tidak dapat menerima kenyataan, lalu beliau berkata, “wahai Rasulullah bagaimana aku diserahkan kembali kepada orang-orang Quraisy yang mana mereka merosakkan agama aku.”
Peristiwa ini menyentuh hati kaum muslimin, mereka merasa sedih dan menitiskan air mata melihat keadaan Jandal Bin Suhail yang tangannya masih berantai diheret oleh Suhail Bin Amru kembali ke Mekah. Ketika itu bangkitlah Umar al Khattab menghampiri Jandal Bin Suhail sambil berkata kepadanya, "sabar sahajalah wahai Abu Jandal, kaum musyrikin darah mereka sama seperti darah anjing.”
Umar al Khattab mendekatkan hulu pedangnya kepada Abu Jandal, dengan harapan beliau merampas pedang Umar al Khattab dan mengambil peluang membunuh bapanya. Tetapi Jandal Bin Suhail terasa berat untuk bertindak hingga di bawa kembali ke Mekah.
Sudahlah perjanjian ini mengecewakan kini peristiwa dihadapan para sahabat bertambah lagi satu kekecewaan. Mereka merasa hairan dengan tindakan Baginda. Maka bermulalah pertanyaan demi pertanyaan kepada Baginda.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir