Fitnah Terhadap Aisyah Oleh Golongan Munafik (samb)
Berita fitnah ini tersebar dengan pantas di Madinah. Antara yang menyebarkannya adalah Hassan bin Thabit, Hamnah binti Jahsy dan Mishtah bin Uthathah mereka bertiga telah diperalatkan oleh Abdullah Bin Ubai untuk menjadi tukang canang bagi menyebar luaskan berita palsu yang direka olehnya.
Hassan Bin Thabit, beliau tidak turut serta dalam peperangan Bani Mustaliq dan tidak mengetahui langsung apa yang berlaku. Namun dari awal lagi beliau ada permusuhan peribadinya dengan Safwan yang mengiringi Aisyah. Beliau juga merasa iri hati kerana melihat kaum Muhajirin mendapat kedudukan yang lebih terhormat berbanding dengan kaumnya sendiri iaitu Ansar di Madinah.
Hamnah Binti Jahsy, beliau juga tidak turut serta dalam peperangan Bani Mustaliq sama seperti Hassan Bin Thabit. Beliau adalah seorang saudara perempuan kandung kepada Zainab Binti Jahsy, isteri Rasulullah s.a.w. Beliau mengetahui Rasulullah s.a.w sememangnya lebih menyayangi Aisyah berbanding Zainab Binti Jahsy. Maka peluang ini telah diambil untuk menjatuhkan martabat Aisyah agar Baginda mengalihkan cinta Baginda kepada Zainab.
Mishtah Bin Uthathah, beliau pernah diasuh oleh Abu Bakar As Siddiq serta masih berhubung dengan baik dengan Abu Bakar As Siddiq. Maka menjadi satu perkara yang pelik apabila beliau terlibat menyebarkan fitnah. Apakah motif beliau tidak diketahui dengan jelas.
Rasulullah s.a.w mengambil pendekatan bertemu dangan para Sahabatnya untuk meminta pandangan mereka terhadap fitnah yang semakin luas ditebarkan di Madinah. Antara yang memberi pandangan adalah Usamah Bin Zaid. Beliau telah menyatakan tuduhan ini tidak benar sama sekali dan beliau tidak dapat menerimanya kerana tiada bukti menunjukkan Aisyah telah melakukan sesuatu yang buruk. Bahkan para Sahabat amat mengenali Aisyah sebagai seorang yang soleh dan bertaqwa.
Manakala Ali Bin Abi Talib memberi pandangan yang agak berbeza kerana tidak mahu Baginda dalam keresahan dan cintanya kepada Baginda, lalu beliau telah berkata dengan bahasa qias, “ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Seterusnya beliau juga menyarankan agar Baginda bertanya perihal Aisyah kepada pembantu Aisyah yang bernama Barirah. Cadangan untuk bertanya kepada Barirah dilaksanakan dengan membawanya bertemu Baginda. Rasulullah s.a.w bertanya kepada Barirah tentang Aisyah. Jawab Barirah, “aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah Aisyah sungguh baik lebih baik dari emas yang baik.”
Kemudian Baginda bertanya pula kepada Zainab Binti Jahsy isterinya yang selalu bersaing dengan Aisyah untuk memenangi hati Baginda. Namun ketika Baginda bertanya kepada Zainab Binti Jahsy mengenai fitnah ini, Zainab telah menjawab dengan baik, “wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Dan tiada yang aku ketahui daripada diri Aisyah melainkan kebaikan semata-semata.”
Lihatlah bagaimana telitinya Baginda apabila mendengar berita fitnah. Baginda tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan. Para Sahabat yang solehlah yang diminta memberi pandangan. Baginda menerima cadangan agar mendengar juga pandangan dari orang yang rapat dengan Aisyah serta isteri Baginda yang lain yang telah didik dengan al Quran.
Sungguh bukan satu yang mudah bagi Baginda untuk membuat keputusan sedangkan wahyu tidak turun bagi menceritakan hal yang sebenar. Malah itulah yang sangat-sangat diharapkan oleh Baginda bagi membantunya membuat keputusan. Allah memberi panduan kepada kita sebagai ummatnya untuk melihat bagaimana proses menyelidiki sesuatu fitnah yang telah dijalankan oleh Baginda.
Manakala Aisyah masih belum mengetahui hal sebenar kerana beliau demam yang lama sekembali ke Madinah dan tidak keluar dari rumahnya. Cuma beliau perasan Baginda tidak banyak berbicara dengannya seperti kebiasaannya. Akhirnya berita fitnah sampai ke telinga Aisyah. Apakah yang berlaku seterusnya?
Bersambung esok, insya Allah.
Ust. Sabir