Peperangan Hamra al-Asad
Apabila Baginda dan para Sahabat sudah berada di Madinah, Baginda memikirkan tindakan yang bakal diambil oleh musyrikin Mekah yang dalam perjalanan kembali ke Mekah. Pastinya pihak musuh tidak akan berdiam diri setelah mereka hampir menang di peperangan Uhud. Maka Baginda telah mengarahkan agar pasukan tentera Islam bersiap sedia untuk mengejar musuh walaupun mereka masih lagi dalam kepenatan baru kembali dari medan Uhud.
Seruan untuk menyusun pasukan dan mengejar musuh adalah sehari selepas berakhirnya perang Uhud iaitu hari Ahad 8 haribulan Syawal tahun 3 hijrah. Baginda mengarahkan agar tentera muslimin yang menyertai perang Uhud sahaja yang ikut dalam mengejar musuh. Baginda bersabda, “tidak akan menyertai kita di hari ini kecuali mereka yang menyertai peperangan Uhud semalam".
Kemudian tiba-tiba berkata Abdullah bin Ubai, "bolehkah aku turut bersama kamu"?
Jawab Baginda: "Tidak".
Seterusnya semua kaum muslimin menyahut seruan Rasulullah s.a.w itu meskipun mereka mengalami keletihan yang amat sangat tetapi mereka menjawab, "kami menurut perintah Rasulullah s.a.w penuh taat setia".
Di kalangan tentera Islam tersebut hanya seorang sahaja dizinkan oleh Baginda untuk turut serta yang tidak menyertai Perang Uhud iaitu Jabir bin Abdullah. Beliau tidak menyertai perang Uhud kerana telah diperintahkankan oleh ayahnya yang turut serta dalam perang Uhud untuk menjaga saudara-saudara perempuannya di Madinah.
Tentera Islam terus bergerak keluar dari Madinah dan sampai ke satu tempat yang di namakan Hamra al-Asad. Jaraknya lebih kurang 8 batu dari kota Madinah. Tempat ini telah dipilih sebagai tempat tentera muslimin berehat. Pada masa yang sama pula berita tentang tentera muslimin sedang bergerak mengejar musuh sampai kepada musyrikin Mekah. Ketakutan menyelubungi mereka kerana baru sahaja 3 hari mereka balik dari peperangan kini sudah diburu pula oleh tentera muslimin.
Abu Sufyan menghantar wakil bagi menakutkan tentera muslimin dengan membawa berita kononnya mereka sedang mengumpul pasukan yang lebih ramai dan ramai lagi tentera tambahan dari Mekah akan menyusul bagi menghadapinya. Al Quran menceritakan kisah ini,
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". (Ali Imran 3:173)
Rancangan untuk menakut-nakutkan tentera Islam tidak akan berhasil.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir