Baginda dan Pasukan Ketenteraannya (samb)
Pihak Quraisy mengambil kesempatan atas kesilapan serangan pasukan Abdullah Bin Jahsy sebagai tindakan menghalalkan peperangan dalam bulan yang diharamkan berperang. Mereka menyebarkan propaganda mengatakan Islam telah menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan. Dalam keadaan ini Baginda masih berdiam dan tidak membuat apa-apa tindakan. Baginda juga menyedari tindakan melanggar budaya Arab berperang pada bulan yang diharamkan akan memberi kesan peperangan yang besar. Dalam pada itu Allah menurunkan wahyu menenangkan Baginda dan kaum muslimin,
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya). (Al Baqarah 2:217)
Ayat ini menjelaskan bahawa kaum kafir Quraisy cuba menyeleweng dari kebenaran. Mereka cepat menghukum tindakan yang dilakukan oleh kaum muslimin sebagai dosa besar sedangkan mereka lupa tindakan menzalimi, menganiaya, membunuh, mengusir dan melakukan segala bentuk penindasan kepada umat Islam ketika berada di Tanah Haram. Bukankah tindakan mereka lebih zalim, sejak dari awal dan masih berterusan hingga kini. Mereka merancang sampai ke peringkat membunuh Baginda kerana tidak senang dengan kebenaran yang dibawa kepada mereka. Ketika itu di mana mereka meletakkan diri sebagai kaum yang berpegang dengan keadilan?
Seterusnya tindakan yang dilakukan oleh Quraisy ialah menghantar wakil untuk mengambil tawanan perang di Madinah iaitu Hakam Bin Kaisan dan Uthman Bin Abdullah. Namun Baginda tidak menyerahkan tawanan perang ini sehingga Saad Bin Abi Waqas dan Uthbah Bin Ghazwah kembali ke Madinah. Ini kerana mereka berdua dari awal lagi telah terpisah dari rombongan Abdullah Bin Jahsy ketika keluar mencari unta yang hilang. Baginda khuatir mereka telah ditawan oleh Quraisy. Akhirnya apabila keduanya kembali ke Madinah barulah tawanan perang ini dibebaskan.
Tawanan perang Hakam Bin Kaisan mengambil keputusan untuk tidak mahu kembali ke Mekah dan memilih Islam sebagai agamanya manakala Uthman Bin Abdullah kembali ke Mekah bersama wakil Quraisy. Baginda juga telah membayar diat (gantirugi) atas kematian Amru Bin Hadrami kepada warisnya.
Insya Allah sambungan Tazkirah Jiwa akan kembali pada 6hb. Sept. 2017. Saya akan berada diluar negara menguruskan ibadah Qurban. Apabila sudah berada Malaysia nanti kita sambung semula.
Selamat Hari Raya Idul Adha.
Ust. Sabir