Warkah berikutnya diutuskan oleh Baginda kepada Raja Parsi bernama Raja Khosrau II atau Kisra Abrawaiz. Utusan Baginda yang membawa risalah ini adalah Sahabat yang bernama Abdullah Bin Huzaifah. Menurut riwayat warkah tersebut dibawa ke istana Parsi dan apabila Abdullah Bin Huzaifah tiba Raja Kisra menyuruh pembantunya mengambil surat tersebut namun Abdullah Bin Huzaifah tidak mengizinkanya. Dia berkata surat tersebut hendaklah diserahkan terus ke tangan Raja Kisra sebagaimana arahan dari Baginda.
Maka Raja Kisra akur dan mengambil surat tersebut lalu menyuruh penulis dari keturunan Arab mengambil surat tersebut dan membacanya. Surat itu dibaca dengan awalan seperti berikut,
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dari Muhammad Rasulullah kepada Kisra yang agung Raja Parsi, keselamatan bagi yang mengikuti petunjuk.”
Baru sahaja mukadimmah surat ini dibacakan tiba-tiba Raja Kisra menjadi marah dan bertindak ganas dengan merampas dan mengoyakkan surat tersebut. Lalu berkatalah Raja Kisra dengan sombong dan bongkaknya, "salah seorang dari hambaku yang hina di dunia, telah berani menulis namanya sebelum nama ku."
Kemudian Abdullah Bin Huzaifah diusir keluar dari istana. Abdullah Bin Huzaifah terus keluar tanpa rasa gentar walaupun beliau tidak tahu apakah nasibnya sama ada dilepaskan atau dibunuh. Beliau tetap yakin dan berkata, “demi Allah, aku tidak peduli apa yang akan terjadi setelah aku menyampaikan surat Rasulullah.”
Abdullah Bin Huzaifah menunggang kudanya dan meninggalkan bumi Parsi. Raja Kisra yang telah reda dari kemarahannya segera menyuruh para pengawalnya memanggil semula Abdullah Bin Huzaifah namun mereka tidak dapat menjejakinya. Abdullah Bin Huzaifah kemudiannya tiba di Madinah dan menceritakan tindakan Raja Kisra. Mendengar hal itu maka berkatalah Baginda, “Allah akan menghancurkan kerajaannya.” Dalam riwayat lain, "semoga Allah merobek-robek kerajaannya"
Raja Kisra dengan angkuhnya telah menulis surat kepada wakilnya di Yaman iaitu Badzan, "hantarkan dua orang kuat kita ke Hijaz, kemudian tangkap lelaki itu dan bawa ke mari.”
Badzan segera menurut perintah dan menghantar 2 orang membawa perintah kepada Rasulullah s.a.w. meminta Baginda ke istana Kisra di Parsi. Apabila 2 orang suruhan ini sampai ke Madinah, maka mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w.,
"Sebenarnya Maharaja Kisra telah pun menulis surat kepada pemimpin Badzan mengarahkan membawa tuan hamba kepadanya oleh itu Badzan telah menghantar kami supaya membawa tuan ke sana.”
Mendengar kata-kata wakil Badzan ini Rasulullah s.a.w meminta mereka berdua menemui Baginda pada keesokan harinya.
Pada masa yang sama di Parsi berlaku pemberontakan dalam kerajaan pimpinan Raja Kisra selepas pasukan tentera Parsi tewas teruk dalam peperangan dengan kerajaan Rom. Syirowih Bin Kisra iaitu anak kepada Raja Kisra telah membunuh bapanya dan merampas takhta. Peristiwa ini berlaku pada 10 terakhir Jamadil Awal tahun ke 7 Hijrah. Baginda telah dimaklumkan oleh Allah perihal apa yang telah berlaku dalam kerajaan Parsi.
Keesokkan harinya 2 orang wakil Badzan menemui Baginda dan berkatalah Rasulullah s.a.w kepada mereka tentang rampasa kuasa di Parsi dan terbunuhnya Raja Kisra. Maka terkejutlah 2 orang wakil Badzan lalu mereka meminta Baginda bertanggungjawab dengan berita ini dan akan dimaklumkan kepada pemimpin mereka iaitu Badzan. Baginda menggalakkan mereka menceritakan berita ini dan minta disampaikan juga kata-kata Baginda,
“Bahawa agama aku dan kuasaku akan meliputi semua daerah kekuasaan Kisra, kuasa ku akan sampai ke tempat terakhir sampainya pecutan kuda dan langkahan unta, malah ceritakan kepadanya lagi, sekiranya beliau memeluk Islam akan aku serahkan kekuasaan yang ada padanya di hari ini. Akan aku jadikannya sebagai pemerintah ke atas rakyatnya dan pemerintahannya akan diwarisi oleh anak-anaknya."
Lalu mereka berdua pun keluar dari Madinah menuju ke Yaman untuk bertemu Badzan dan menceritakannya apa yang telah disampaikan oleh Baginda. Berita tentang kematian Raja Kisra juga telah sampai ke Yaman dan setiap apa yang disebut Baginda semuanya benar. Satu warkah telah tiba ke Yaman yang ditulis oleh Syirowih Bin Kisra beliau menyebut, "sila ambil perhatian terhadap lelaki yang bapaku tulis mengenainya, sekali-kali jangan kamu mencelanya hinggalah datangnya kepada kamu perintah ku.
Kesan dari peristiwa ini telah menyebabkan keyakinan Badzan terhadap Baginda Rasulullah s.a.w maka beliau dan bersama orangnya rakyat Parsi yang berada di Yaman semuanya memeluk Islam.
Isi kandungan surat Baginda keseluruhannya kepada Raja Kisra adalah seperti berikut,
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad utusan Allah untuk Kisra, penguasa Parsi yang agung. Salam bagi orang yang mengikuti petunjuk dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan bagi orang yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bagi yang bersaksi bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan utusan-Nya. Aku mengajakmu kepada panggilan Allah sesungguhnya aku adalah utusan Allah bagi seluruh manusia supaya aku memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir. Peluklah agama Islam maka kamu akan selamat. Jika kamu menolak maka kamu akan menanggung dosa orang orang Majusi.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir