Rasulullah s.a.w Mengerjakan Umrah Al-Qada’ (samb)
Setelah selesai menunaikan umrah dan menyembelih haiwan Qurban Baginda tinggal di Mekah selama tiga hari. Apabila tempoh tiga hari yang dibenarkan dalam perjanjian Hudaibiyah tamat lalu pihak Quraisy telah menghantar wakilnya iaitu Ikrimah untuk meminta Baginda dan rombongannya keluar dari Mekah. Baginda melayan Ikrimah dengan baik dan mempelawanya makanan namun Ikrimah menolak dan meminta Baginda segera keluar dari Mekah dengan cara yang tidak sopan. Kata-kata Ikrimah mengundang kemarahan Saad Bin Ubadah yang menempelak Ikrimah dengan mengatakan ini adalah negeri Rasulullah s.a.w.
Semasa Baginda berada di Mekah Baginda telah bertemu dengan anak perempuan kepada bapa saudaranya iaitu As Syahid Hamzah Bin Abdu Mutalib yang kemudiannya anak ini menjadi perebutan hak penjagaan oleh Jaafar, Ali dan Zaid. Akhirnya Baginda membuat keputusan dengan menyerahkan hak penjagaan kepada Jaafar bin Abi Talib kerana ibu saudaranya bersama Jaafar.
Dalam umrah ini juga Baginda telah mengahwini Maimunah binti al-Harith yang urusan perkahwinan ini telah diuruskan oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Seterusnya Maimunah turut serta ikut Baginda kembali ke Madinah. Pelaksanaan ibadah umrah ini dikenali oleh ahli sejarah dengan beberapa nama antaranya Umrah al-Qada', Umrah al-Qadiah, Umrah al-Qisas dan Umrah al-Solh.
Para Sahabat berasa gembira kerana dapat menunaikan ibadah umrah dengan aman dan tanpa gangguan dari kafir Quraisy. Kesabaran mereka setahun menanti setelah perjanjian Hudaibiyah ternyata satu tindakan yang betul apabila mereka memberikan sepenuh ketaatan atas perintah Allah dan RasulNya. Ini dijelaskan oleh al-Quran;
لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar, iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Dia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya. maka Dia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya). (Surah Fath 48:27)
Manakala di pihak Quraisy pula mereka tidak boleh berbuat apa-apa kepada Baginda dan rombongannya kerana perjanjian yang isi kandungnya dibuat dengan berat sebelah itu tetap dihormati oleh kaum muslimin. Mereka terpaksa patuh dan hanya melihat sahaja segala amalan Baginda dan para Sahabat selama tempoh tiga hari tersebut.
Bersambung esok. Insya Allah
Ust. Sabir