Kepungan kota Taif dihentikan oleh Baginda serta mengarahkan para tentera kembali ke Mekah. Para Sahabat terkejut apabila Baginda memberikan arahan ini sedangkan Taif masih belum ditawan.
Rasulullah s.a.w tidak mahu Bani Tsaqif yang menolak dakwah Baginda pada awal-awal dahulu terkorban. Baginda mahu mereka menerima Islam bukannya terkorban di medan perang. Jika dahulu ketika Malaikat menawarkan untuk menghempap mereka dengan gunung pun Baginda tidak mahu menerimanya maka begitu juga kini Baginda tidak mahu mereka terkorban.
Apabila hendak meninggalkan Taif ada Sahabat yang meminta doakan kemusnahan buat Bani Tsaqif tetapi Baginda mendoakan hidayah buat mereka, “Ya Allah, berilah petunjuk bagi orang-orang Tsaqif.” Orang-orang Taif adalah terdiri dari mereka yang pintar dan cerdik Baginda yakin mereka akan menerima Islam juga akhirnya.
Seterusnya Baginda menuju ke Ja’ranah tempat pengumpulan harta rampasan perang. Baginda mula mengagihkan harta kepada mereka yang baru masuk Islam iaitu terdiri dari penduduk Mekah. Antara yang menerimanya adalah Abu Sufian serta dua orang anaknya iaitu Muawiyah dan Yazid, Uyaynah bin Husn, Safwan bin Umayyah, Suhail bin Amru dan lain-lain lagi. Mereka yang paling awal awal menerimanya adalah pemimpin-pemimpin di Mekah.
Setelah itu Baginda memberikan harta kepada para tentera yang berjalan kaki dan menaiki kuda. Ada juga seorang Badwi yang datang meminta harta sedangkan beliau tidak turut serta dalam peperangan. Baginda tetap memberikan kepadanya jumlah kambing yang banyak. Badwi tersebut terkejut dan menyangka ianya hanyalah satu helah tetapi hakikatnya sememangnya diberikan kepadanya. Badwi tersebut kembali ke kaumnya dengan gembira dan akhirnya semua mereka masuk Islam.
Baginda menyampaikan pesanan kepada pemimpin Hawazin dan Tsaqif sekiranya mereka datang bertemu Baginda dan masuk Islam Baginda akan serahkan kaum keluarga dan harta mereka kembali serta diberikan harta tambahan. Dengan tawaran ini Malik bin Auf datang bertemu Baginda dan masuk Islam. Lalu diberikan kepadanya seperti yang dijanjikan Baginda dengan tambahan 100 ekor unta. Bani Tsaqif akhirnya semuanya menerima Islam setelah Baginda kembali ke Madinah. Wilayah Islam makin meluas sehingga ke Taif.
Pada masa agihan harta perang kaum Ansar melihat tiada harta yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w kepada mereka. Mereka merasakan Baginda telah mengabaikan mereka, sehingga terdengar rasa tidak puas hati mereka kononnya Baginda mengutamakan orang-orang yang baru masuk Islam dari kalangan penduduk Mekah. Berita ini akhirnya sampai ke pengetahuan Baginda setelah diceritakan oleh Saad bin Ubadah yang juga terdiri dari golongan Ansar.
Rasulullah s.a.w kemudiannya berkata kepada Saad bin Ubadah untuk mengumpulkan Sahabat-sahabat Ansar. Apakah yang dilakukan oleh Baginda?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir