Pada pagi Isnin keadaan Rasulullah s.a.w mulai nazak. Baginda dalam keadaan yang sangat lemah lalu baginda bersandar pada Aisyah. Pada masa itu masuklah Abdul Rahman bin Abu Bakar untuk menziarahi Baginda. Abdul Rahman bin Abu Bakar memegang kayu sugi di tangannya. Aisyah melihat Baginda memerhati kayu sugi itu dan beliau merasakan Baginda mahukan kayu sugi tersebut. Sebagaimana diterangkan Aisyah,
Justeru aku bertanya: “Mahukah aku ambil untukmu ya Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w pun mengangguk kepalanya, kemudian aku berikan siwak itu kepada Baginda tetapi ianya keras sedikit.
Aku berkata: “Biarkan ku lembutkannya?”
Baginda menganguk kepalanya, dengan itu aku pun melembutkannya lalu Rasulullah s.a.w pun bersugi dengannya.
Dalam satu riwayat lain disebut bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya, pada masa itu terdapat sebuah bekas di hadapan Rasulullah s.a.w yang berisi air. Lalu Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud:
"Sebenar kematian ini ada sakaratnya (kesakitan)".
Tidak berapa lama selepas Baginda selesai bersugi, Rasulullah s.a.w pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah s.a.w seperti berikut :
“Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para Nabi, siddiqin, syuhada dan salihin. Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah aku dan kasihanilah aku, letakkanlah aku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi. (Arrafiiqul A’laa, Arrafiiqul A’la)
Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun jatuh layu turun ke bawah, maka ketika itu Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi.
"Sesungguhnya kita ini dari Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali".
Hilanglah segala perkataan Baginda yang tidak akan lagi didengar lagi oleh isteri-isteri, anak dan para Sahabatnya. Satu kehilangan yang tidak akan mampu dicari ganti. Akhlaknya yang sangat lemah lembut, penyayang kepada golongan fakir, miskin dan anak yatim. Zuhudnya terhadap dunia, kasihnya kepada ummat yang tidak pernah pudar. Pemaafnya sangat luarbiasa cintanya tiada tandingan. Hilanglah cahaya seri wajahnya yang mengembirakan sesiapa yang melihatnya.
Ya Rasulullah Engkau bukan sahaja dikasihi di bumi tetapi sehingga ke langit. Para malaikat turut menyambut rohmu dengan penuh kelembutan untuk bertemu dengan kekasih yang satu yang telah lama dirindui. Kami membaca riwayat sirahmu dengan penuh kasih dan merasakan tawadhuknya Engkau Ya Rasulullah s.a.w.
Kami umatmu yang tidak berpeluang menatap wajahmu, mendengar suaramu, melihat akhlakmu tetap merasakan kehebatanmu. Ya Rasulullah s.a.w terlalu banyak pederitaanmu untuk membimbing kami kepada Allah SWT. Engkau harungi dengan penuh sabar dan redha demi kami umatmu. Kami tidak mampu menjadi sepertimu Ya Rasulullah s.a.w. Kami jauh dari menjadikanmu sebagai model kehidupan.
Damailah Engkau ya Rasulullah s.a.w disisi Allah SWT. Kami mengharapkan pertemuan denganmu di akhirat nanti. Sambutlah kami sebagai umatmu bantulah kami dengan syafaatmu. Allahuma solli a’la Muhammad.😥
Wafatnya Rasulullah s.a.w pada pagi hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah s.a.w genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.
Berita kewafatan Baginda mula tersebar. Apakah reaksi para Sahabat?
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir