Masih ingat lagi peristiwa utusan Rasulullah s.a.w yang dibunuh iaitu Harith bin Amir al-Uzdi ketika membawa surat Baginda untuk Raja Rom iaitu Herkules? Kemudiannya Baginda mengarahkan satu pasukan perang bertempur dengan tentera Rom yang diketuai oleh Zaid bin Harithah dalam peperangan Mu’tah. Pasukan perang kaum muslimin berjaya mengundurkan tentera musuh setelah Khalid bin al Walid mengambi alih mengetuai peperangan.
Setelah mendapat khabar Islam makin berkembang kerajaan Rom tidak mahu membiarkan kerajaan Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w untuk menjadi kuat di wilayah Arab. Sokongan dari pelbagai kabilah bersama dengan Baginda menyebabkan Raja Herkules rasa amat tidak senang hati. Bermula dari saat itu maka dibuat persiapan oleh kerajaan Rom untuk menggempur Madinah. Peristiwa ini berlaku dalam tempoh tidak sampai satu tahun selepas peperangan Mu’tah.
Untuk memastikan kemenangan dalam peperangan ini kerajaan Rom telah bergabung dengan beberapa kabilah Lakhm, Juzam, Amilah dan Ghassan yang merupakan kaum Arab beragama Nasrani. Bagi mereka inilah satu peperangan yang akan dilakukan habis-habisan untuk menghancurkan kerajaan Madinah.
Manakala berita tentang persiapan kerajaan Rom untuk menyerang Madinah telah sampai kepada penduduk Madinah. Mereka mulai rasa gentar dan takut apabila disebut kerajaan Rom akan menyerang Madinah kerana selama ini memang sudah di ketahui kerajaan Rom adalah satu kerajaan yang amat kuat pasukan ketenteraannya. Bahkan tentera muslimin pula tidak berjaya sepenuhnya menentang mereka pada peperangan Mu’tah dahulu.
Cabaran kepada Islam di Madinah adalah cabaran terhadap Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara. Bahkan Allah SWT memerintahkan Baginda untuk menghadapi kerajaan Rom yang angkuh dan sombong ini sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya). (Surah Taubah 9:123)
Apakah tindakan yang dilakukan oleh Baginda? Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir