Perjanjian Hudaibiyah (samb)
Uthman Bin Affan masih tidak kembali dari bertemu pemimpin Quraisy, lalu tersebarlah berita kononya Uthman Bin Affan telah dibunuh. Berita ini sampai juga kepada rombongan muslimin sehingga Baginda memanggil semua kaum muslimin yang bersamanya untuk berikrar dan membuat janji setia bersama Baginda untuk tetap tidak berundur walau apa keadaan sekali pun. Maka para sahabat segera mengerumuni Baginda untuk menyatakan ikrar dan berjanji bersama Baginda iaitu taat setia, tidak akan lari walaupun terpaksa berperang dan sanggup mati bersama.
Disebut dalam sirah orang pertama yang membuat ikrar dan perjanjian adalah Abu Sinan al Usdi, Salamah Bin Akma dan seterusnya para sahabat yang lain. Apabila semua telah selesai melakukan ikrar dan perjanjian Baginda melihat Salamah Bin Akma berehat. Baginda memanggil Salamah Bin Akma untuk melaksanakan janjinya namun dijawab oleh beliau, “aku sudah berikrar dan berjanji ya Rasulullah s.a.w.”
Berkata Baginda, “sekali lagi wahai Salamah.”
Baginda mahu Salamah berjanj sekali lagi kerana beliau mempunyai kemampuan dan kepakaran perang melebihi orang lain. Pengajarannya adalah, hukum harus untuk mengulang-ulang perjanjian. Kini semua sahabat telah selesai mentaati Baginda dengan melakukan ikrar dan perjanjian kecuali seorang munafik yang bernama Jad Bin Qais yang bersembunyi disebalik unta merahnya.
Kemudian Baginda bersabda dengan meletakkan tangan kirinya keatas tangan kanannya, “ini tangan ganti bagi tangan Uthman.” Iaitu Baginda mewakili Uthman Bin Affan bagi membuat perjanjian.
Apabila selesai tiba-tiba Uthman Bin Afffan pun sampai kemudian beliau pun segera melafazkan ikrar dan janji bersama. Perjanjian ini dilakukan dibawah sebatang pohon dan perjanjian ini dinamakan al-Ridwan. Seterusnya Baginda bersabda, “semua yang melaksanakan perjanjian di bawah pohon ini akan masuk syurga kecuali tuan punya unta merah.” (Iaitu Jad Bin Qais).
Wahyu Allah bersama mereka sebagaimana firman Allah dalam surah Fath ayat 10 dan 18,
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ ۚ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَىٰ نَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah. Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar. (Fath 48:10)
۞ لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah) maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. (Fath 48:18)
Pihak Quraisy merasa gentar mendengar berita ikrar dan perjanjian rombongan kaum muslimin. Perjanjian dengan Baginda bukan satu janji yang boleh dipandang ringan. Bahkan telah sampai berita bagaimana taatnya para Sahabat kepada Baginda melebihi taatnya rakyat kepada mana-mana Raja yang hebat ketika itu. Ketakutan Quraisy menyebabkan mereka segera mengutus utusan untuk berdamai.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir